My Add

Friday 8 March 2013

2 komando VAT 69 cedera dipindah ke HRPB

 *AZMAN Ampong (tiga dari kiri) dan Mohd. Tarmizi Hashim (berkerusi roda)
 disambut oleh Dr. Zambry Abd. Kadir di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan
 Udara Polis Ipoh, Perak, semalam. - UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

IPOH, KHAMIS, 07 Mac, 2013: Dua anggota komando VAT 69 yang tercedera dalam Op Daulat di Lahad Datu, Sabah tiba di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis Ipoh di sini hari ini, sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan susulan.

Koperal Mohd. Tarmizi Hashim dan Koperal Azman Ampong yang cedera di tangan, kaki dan paha, dipindahkan dari Hospital Lahad Datu menaiki pesawat King Air 350 Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 8 pagi ke Pangkalan Tentera Udara Sungai Besi.

Kedua-dua mereka kemudiannya menaiki pesawat Cessna 208 Caravan sebelum tiba di sini kira-kira pukul 5.30 petang.

Ketibaan mereka disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan.

Zambry yang sempat meluangkan masa bertemu mangsa kira-kira 10 minit sebelum mereka dibawa terus ke HRPB menaiki ambulans, menyifatkan kedua-dua anggota komando berkenaan mempunyai sifat kepahlawanan yang tinggi.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang menimbang bentuk bantuan yang akan diberikan kepada dua anggota terbabit supaya kebajikan dan masa depan anak-anak mereka terbela.

"Saya bangga dengan pengorbanan mereka. Dalam masa negara kita diserang segerombolan pihak tidak bertanggungjawab, mereka menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi.

"Jangan ada pihak yang membuat kenyataan tidak bertanggungjawab mengatakan mereka ke sana makan angin, naik kapal terbang tambang murah. Jangan ambil kesempatan meraih kepentingan politik, ini soal keselamatan, sepatutnya kita berdoa bersama-sama," katanya.

Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, pihaknya telah diarahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar supaya menyediakan kemudahan terbaik kepada mangsa termasuk rawatan serta memastikan masa depan anak-anak mereka terjamin.

Beliau berkata, pemindahan kedua-dua mangsa ke HRPB adalah bagi menjalani rawatan susulan serta memudahkan keluarga mereka untuk melawat di hospital. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment