My Add

Friday 8 March 2013

2 polis cedera dibaling objek keras

MELAKA, KHAMIS, 07 Mac, 2013: Dua anggota polis cedera di kepala dibaling objek keras dipercayai oleh penyokong pembangkang dalam majlis ceramah yang turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kampung Bukit Katil, di sini malam ini.

Ketika kejadian, kedua-dua anggota polis itu cuba meleraikan ketegangan antara kumpulan penyokong pembangkang dan penyokong Barisan Nasional (BN) yang turut berkumpul bagi mendengar ceramah yang disampaikan ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali.

Lokasi kedua-dua ceramah itu yang dihadiri kira-kira 500 penyokong pembangkang dan BN hanya dipisahkan dalam jarak kira-kira 50 meter.

Ketegangan itu meletus ketika Anwar dan Ummi Hafilda masing-masing sedang menyampaikan ceramah.

Kedua-dua anggota polis itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment