My Add

Tuesday 26 March 2013

28 isteri Polis Marin terbabit Ops Daulat terima penghargaan

GEORGETOWN, ISNIN, 25 Mac, 2013: Sebanyak 28 isteri anggota Polis Marin Wilayah Satu yang terbabit dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah hari ini menerima sijil penghargaan khas sempena sambutan Hari Polis ke-206 di sini.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Mohd Yusof Abdullah, berkata penghargaan itu bagi menaikkan semangat mereka yang terpaksa mengendalikan keluarga seorang diri selepas suami dihantar bertugas dalam operasi berkenaan.

"Kita harap isteri anggota terbabit menjalani hari-hari mendatang dengan bersemangat dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk pasukan keselamatan di sana agar semuanya dapat kembali dengan selamat," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, sebanyak 28 anggotanya dihantar bertugas di Lahad Datu sejak 20 Februari lalu dan mereka dijadual pulang Sabtu ini, manakala tempat mereka diganti 12 anggota yang akan dihantar pada hari sama.

Pada perkembangan lain, Mohd Yusof berkata, pasukannya menjalankan 156 operasi di kawasan perairan Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga semalam.

Katanya, sepanjang operasi itu, pihaknya merekodkan 26 kes membabitkan pelbagai kesalahan termasuk penahanan pendatang asing yang cuba memasuki negara ini.

“Kes yang terbanyak ialah kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu seperti kes penyeludupan diesel dan kes-kes penyeludupan barangan import untuk mengelak cukai,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment