My Add

Wednesday 13 March 2013

6 termasuk dalang pengganas Sulu ditahan

SEMPORNA, SELASA, 12 Mac, 2013: Polis menahan enam lelaki termasuk individu paling dikehendaki kerana menjadi antara dalang kes pencerobohan pengganas Sulu di daerah itu dan Lahad Datu dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Firdaus Francis Abdullah berkata, serbuan dilakukan pihaknya di Kampung Bangau-Bangau, selepas menerima maklumat daripada seorang penduduk yang curiga dengan kehadiran seorang lelaki di rumah datuknya.

"Berdasarkan maklumat tersebut, satu pasukan polis dari Komando VAT 69 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu perkampungan atas air itu dan berjaya menahan enam lelaki berusia antara 30 dan 50-an.

"Seorang daripadanya disyaki terlibat secara langsung dengan pencerobohan pengganas Sulu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Mohd. Firdaus, dalang berkenaan dipercayai datang ke kampung itu sejak beberapa hari lalu dan dipercayai cuba mendapatkan perlindungan kumpulan masyarakat di situ.

Selain itu kata beliau, pihaknya juga kini sedang berusaha mengesan saki-baki pengganas Sulu yang dipercayai masih berada di daerah ini.

"Siasatan ke atas suspek menjurus kepada perancangan mereka sama ada ingin melarikan diri pulang ke tempat asal, cubaan melancarkan serangan atau ingin membuat kekacauan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment