My Add

Wednesday 13 March 2013

Kebijaksanaan Tun Razak ubah nasib Melayu

SHAH ALAM, SELASA, 12 Mac, 2013: Kebijaksanaan kepimpinan Perdana Menteri kedua, Alllahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengenal pasti dua cara mengubah nasib orang Melayu iaitu melaksanakan pembangunan kawasan luar bandar dan pendidikan berjaya membawa perubahan besar kepada masyarakat tersebut.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam (gambar) berkata, biarpun ketika itu negara baru sahaja mengecapi kemerdekaan dan peristiwa 13 Mei baru berakhir, dua perkara tersebut berjaya meningkatkan keadaan orang Melayu terutama dalam bidang ekonomi dalam masa singkat.

Menurut beliau, sebelum itu, orang Melayu sendiri mempunyai sikap pasif terhadap penyertaan mereka dalam bidang ekonomi selain dianggap tidak berkemampuan menghadapi proses pemodenan.

"Alhamdulillah, pucuk kepimpinan negara sedar dan insaf, maka mereka mengambil perkara itu (ekonomi) sebagai cabaran, inilah yang diteliti dan dibahas dalam kalangan mereka yang mana pelbagai strategi dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Minda dan Sesi Dialog bertajuk Survival Ekonomi Melayu anjuran sebuah akhbar di sini hari ini.

Musa yang pernah menjadi Menteri Pelajaran berkata, kerajaan menyediakan bajet amat tinggi bagi pembangunan bidang pelajaran termasuk membina Institut Teknologi Mara (ITM) yang dianggap penebus maruah Melayu.

"Orang kampung dan anak Melayu yang mana ibu bapa mereka yang sebelum itu tidak ingin kepada kemajuan dan tidak faham keperluan pelajaran telah menukar fikiran atas tumpuan yang diberikan kerajaan," katanya.

Menurut beliau, melalui kesedaran pendidikan itu orang Melayu kini memiliki kesedaran baharu iaitu kedudukan mereka yang hanya boleh bergerak dengan bantuan kerajaan tidak boleh diteruskan selama-lamanya.

Musa menjelaskan, soal ekonomi Melayu juga tidak pernah berhenti diperkatakan sejak merdeka sebagai suatu yang bersifat fundamental bagi menentukan hala tuju negara berdaulat.

"Kalau kita lihat, keadaan pada zaman dahulu dan bandingkan dengan keadaan sekarang, tidak ada seorang pun kata kita tidak mencapai kejayaan mengikut ukuran apa pun.

"Begitu jauh (kejayaan) hingga saya berani kata selepas merdeka dan berdaulat, peranan orang Melayu dalam segala aspek hidup boleh kita banggakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak setuju sekiranya ada pihak berasa sangsi dengan kelangsungan ekonomi Melayu atau bimbang kaum Melayu ketinggalan jauh berbanding kaum lain di negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment