My Add

Sunday 3 March 2013

Abang pergi dengan amanah yang berat'

BESUT, SABTU, 02 Mac, 2013: "Ayang, jaga diri baik-baik, abang pergi dengan amanah yang berat, apa-apa jadi ayang kena tabah,".

Begitu khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir Allahyarham Zulkifli Mamat, 30, yang diterima isterinya, Noraziah Noor, 30, sehari sebelum pegawai polis itu terbunuh dalam insiden di Lahad Datu, Sabah, semalam.

Menurut Noraziah, Khamis lalu juga menjadi hari terakhir mereka berhubung melalui SMS sebelum dia dimaklumkan tentang pemergian suaminya itu.

Dengan nada pilu dan tersekat-sekat, guru di sebuah sekolah di Perak itu namun menyatakan reda dengan pemergian suaminya yang meninggalkan dia dan anak-anak demi mempertahankan negara.

"SMS terakhir itu menguatkan saya. Saya reda dengan pemergiannya dan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus sepanjang pengebumian arwah," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Bayor dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, suasana sedih menyelubungi rumah ibu Allahyarham, Khatijah Ismail, 64, sejak pukul 7 pagi oleh lebih 2,000 pelawat termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, isterinya, Toh Puan Norliza Mahmud dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa.

Jenazah pegawai polis yang berkhidmat di Kem Ulu Kinta itu dibawa ke rumah ibunya pada pukul 4 petang sejurus tiba di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak pada pukul 3 petang.

Ketibaan jenazah Allahyarham di lapangan terbang itu turut diberi penghormatan terakhir oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Jenazah dikebumikan pukul 4.45 petang yang turut dihadiri keluarga terdekat Allahyarham termasuk ibunya, Khatijah, Noraziah yang sedang hamil sebulan anak ketiga serta dua anaknya, Nor Akhmal Aminuddin, 5, dan Nor Mohd. Akhil, 1.

Yang turut mengiringi jenazah Allahyarham ke tanah pusara ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md. Jamil serta lebih 250 pegawai dan anggota polis.

Majlis pengebumian diadakan penuh istiadat dengan penghormatan negara. Bendera yang membaluti keranda Allahyarham kemudian diserahkan kepada isterinya oleh wakil Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment