My Add

Sunday 3 March 2013

Kisah sebenar serangan ke atas komando VAT 69

LAHAD DATU, SABTU, 02 Mac, 2013: Kisah sebenar bagaimana dua anggota komando VAT 69 terbunuh manakala tiga lagi cedera ketika diserang kumpulan penceroboh terungkai apabila mangsa yang cedera mendedahkan Tentera Diraja Kesultanan Sulu menggunakan taktik kotor.

Sumber memberitahu Mingguan Malaysia, sebaik sahaja melihat komando VAT 69 berada pada jarak 75 meter, anggota penceroboh bertindak mengangkat bendera putih yang diikat pada raifal masing-masing sebagai tanda kononnya mereka mahu menyerah diri.

Melihat keadaan itu dan atas dasar mahu berunding, pasukan keselamatan negara tersebut bertindak menghampiri kumpulan penceroboh tetapi setelah mereka memasuki jarak 25 meter, anggota komando VAT 69 kemudian ditembak bertalu-talu.

Tembakan tersebut tepat mengenai kepala Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud menyebabkan kedua-dua wira negara itu mati serta-merta di tempat kejadian manakala tiga yang lain cedera di bahu, kaki, tangan serta punggung.

Menurut sumber yang sama, pasukan VAT 69 kemudian menyerang balas dan berjaya membunuh 12 anggota kumpulan penceroboh, seorang cedera dan 10 lagi menyerah diri walaupun musuh berada pada kedudukan lebih strategik iaitu di atas bukit.

"Satu seksyen komando VAT 69 yang ditugaskan untuk mengetatkan kepungan telah terserempak dengan sekumpulan anggota penceroboh semasa mereka menghampiri sasaran. Anggota VAT 69 seterusnya mengambil kedudukan untuk bertindak dengan posisi meniarap.

"Bagaimanapun, tembakan tidak dilepaskan kerana anggota kita ternampak lilitan kain putih di raifal penceroboh tetapi mereka kemudian bertindak melepaskan tembakan pada jarak 25 meter sehingga membunuh dua anggota VAT 69 dan mencedera tiga yang lain," katanya.

Dalam pada itu, salah seorang saudara anggota keselamatan yang tercedera ketika ditemui di Hospital Lahad Datu memberitahu, semasa kejadian kesemua anggota berkenaan tidak berhasrat mahu berperang, sebaliknya ikhlas mahu mengadakan rundingan.

"Selepas menaikkan bendera putih, anggota keselamatan kita terus menghampiri mereka dengan sangkaan baik. Namun, apabila semakin hampir mereka ditembak menyebabkan dua daripadanya terkena tembakan di kepala, tiga yang lain pula cedera.

"Pada masa itu, anggota VAT 69 hanya mampu merangkak memandangkan pasukan penceroboh berada di kawasan berbukit tetapi pasukan keselamatan negara tetap menyerang balas tanpa rasa takut sehingga akhirnya berjaya membunuh ramai musuh," katanya.

Bercerita lanjut, beliau yang enggan namanya disiarkan menambah, kumpulan penceroboh asing tersebut juga bersikap kurang ajar apabila melambai-lambai tangan semasa anggota VAT 69 bertungkus-lumus membawa rakan mereka ke kawasan yang lebih selamat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment