My Add

Sunday 3 March 2013

Sabarudin pernah luah hasrat tunai ibadat haji

SABAK BERNAM, SABTU, 20 Mac, 2013: Allahyarham Koperal Sabarudin Daud pernah menyatakan hasrat untuk membawa isteri, tiga anak dan ibunya untuk menunaikan fardu haji bersama-sama.

Hasrat itu disuarakan kepada ibunya, Som Md. Salleh, 72, selepas wanita tersebut pulang menunaikan Rukun Islam kelima itu pada tahun lalu.

"Arwah pernah menyatakan sedang mengumpul wang untuk ke Mekah menunaikan haji. Dia juga mahu membawa keluarganya dan saya bersama-sama.

"Arwah memang mementingkan amal ibadat dan seorang anak yang bertanggungjawab. Sebahagian perbelanjaan saya ke Mekah pun ditanggungnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Lias, Sungai Besar di sini hari ini.

Tambah Som, walaupun dia terkilan hasrat anak lelaki sulungnya itu tidak kesampaian, namun dia tetap reda dan berbangga kerana Sabarudin pergi sebagai seorang wira negara.

Sementara itu, adik kembar mangsa, Sabariah Daud, 46, berkata, kali terakhir dia berjumpa abangnya tersebut adalah setahun yang lalu.

"Kami berjumpa kali terakhir pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas kerana jarak tempat tinggal yang jauh. Arwah tinggal di Ulu Kinta manakala saya pula di Shah Alam dan masing-masing juga sibuk bekerja.

"Terlalu sukar dan sedih untuk menerima kenyataan ini kerana kami sebagai pasangan kembar memang rapat sejak kecil," katanya sambil memberitahu, abangnya itu merupakan seorang yang ringkas, penyabar, murah dengan senyuman dan disenangi oleh sesiapa sahaja.

Sementara itu, jenazah Sabarudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Makmuriah, Sungai Besar di sini pada pukul 4 petang.

Allahyarham dikebumikan penuh istiadat sebagai wira dengan penghormatan negara yang dihadiri kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai.

Terdahulu, jenazah dibawa ke rumah ibunya di Kampung Sungai Lias, Sungai Besar selepas dibawa dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang pada pukul 12 tengah hari.

Keluarga dan kenalan diberi peluang untuk menatap wajah Allahyarham kali terakhir sebelum jenazah dibawa ke Masjid Makmuriah di sini untuk disembahyangkan.

Yang hadir sama memberikan penghormatan terakhir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar.

Allahyarham Sabarudin merupakan salah seorang anggota polis komando VAT 69 yang terbunuh semalam dalam pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata dari Filipina.

Turut terkorban dalam tragedi tersebut ialah Inspektor Zulkifli Mamat, 30, dari Besut, Terengganu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment