My Add

Wednesday 20 March 2013

Adnan: Rakyat boleh nilai siapakah Wong Tack

BENTONG, SELASA, 19 Mac, 2013: Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob secara sinis mengalu-alukan 'keberanian' Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack untuk bertanding di Parlimen Bentong atas tiket DAP dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, tindakan Wong Tack itu pada masa sama bertentangan dengan prinsip Himpunan Hijau sendiri yang mendakwa memperjuangkan alam sekitar sehingga mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin badan itu.

Malah katanya, sudah ada individu dalam Himpunan Hijau yang mendesak Wong Tack meletakkan jawatan selaku Pengerusi.

"Saya percaya pengundi sudah tentu dapat menilai ketokohan Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang telah memberi khidmat terbaik kepada masyarakat di sini.

"Oleh itu, BN berupaya mengekalkan kerusi Parlimen Bentong dengan majoriti yang lebih besar setelah mengambil kira reputasi Tiong Lai dan kerajaan BN di bawah teraju Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Adnan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai merangkap Ketua UMNO Bahagian Bentong berkata demikian kepada pemberita selepas majlis mesra kasih warga DUN tersebut di Felda Kemasul dekat sini baru-baru ini.

Tegasnya, Wong Tack juga telah menggunakan NGO Himpunan Hijau untuk mempopularkan diri sendiri ketika menentang projek Lynas sedangkan kini terbukti terdapat 'udang di sebalik batu'.

Tambah beliau, orang ramai akan menilai keikhlasan dan niat pengerusi Himpunan Hijau itu untuk bertanding di Parlimen Bentong iaitu kawasan kubu kuat parti MCA. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment