My Add

Saturday 2 March 2013

BNM perjelas isu aliran keluar wang haram


KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan laporan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing yang baru-baru ini membangkitkan isu aliran keluar kewangan haram dari negara-negara sedang membangun, pada dasarnya merupakan aliran kewangan yang tidak direkodkan atau terlebih catat.

BNM dalam satu kenyataannya berkata, perkara itu mungkin timbul akibat percanggahan data dan cara pengumpulan perangkaan perdagangan yang berbeza antara negara-negara yang menjalankan perdagangan.

Perkara itu boleh berlaku daripada segi perbezaan masa merekod, pelbagai cara penilaian dan pengecualian beberapa jenis barangan.

Laporan NGO itu menganggarkan sebanyak 80 peratus daripada jumlah aliran keluar kewangan yang tidak direkodkan di Malaysia, iaitu sebanyak AS$227.1 bilion (RM703.3 bilion) bagi tempoh antara 2001 hingga 2010 disebabkan oleh salah nilai perdagangan (trade mispricing).

Aliran keluar kewangan yang tidak direkodkan diperoleh daripada perbandingan data eksport dan import antara negara.

Kata bank pusat itu, keadaan dirumitkan lagi melalui kaedah merekod barangan yang dieksport melalui hab eksport semula (re-export hub), yang kadangkala mungkin menyebabkan nilai rekod yang tidak sama.

"Percanggahan ini timbul kerana import direkodkan berdasarkan negara pengeksport asal yang juga merangkumi eksport melalui negara lain," jelas BNM dalam kenyataan itu di sini hari ini.

Laporan itu juga menganggarkan 20 peratus daripada aliran keluar haram merujuk kepada pindahan perolehan yang tidak direkodkan melalui saluran tidak rasmi yang dicakupi dalam item Kesilapan dan Ketinggalan (E&O) Imbangan Pembayaran Malaysia.

"Perlu diambil perhatian bahawa bukan kesemua jumlah E&O disebabkan oleh kegiatan haram, memandangkan ia juga termasuk kesilapan perangkaan yang sebenar daripada pengumpulan perangkaan perdagangan luar dan transaksi kewangan merentas sempadan.

Tambah BNM, masalah 'trade mispricing 'boleh diatasi dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment