My Add

Saturday 2 March 2013

Tambang kereta api laju berpatutan - SPAD

 *PIMPINANAN Malaysia dan SIngapura bersetuju menyambung kembali projek
 keretapi kelajuan tinggi antara kedua-dua negara. - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memastikan harga tiket bagi cadangan kereta api kelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Malaysia dan Singapura berpatutan untuk orang awam di samping mengimbangkan keperluan untuk dapat beroperasi secara mampan.

"Faedah jangka panjang projek HSR bagi Malaysia adalah jelas dan tidak dapat dinafikan, oleh itu kerajaan amat komited untuk melaksanakan dasar yang betul untuk kebaikan rakyat," kata Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan hari ini sebagai respons kepada laporan Moody's berhubung projek berkenaan.

Moody's dilaporkan telah berkata bahawa "jika kos tiket sama dengan tiket kapal terbang ke Kuala Lumpur, tidak mungkin banyak kesan (daripada pelaksanaan projek itu).

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatan di Singapura, Lee Hsien Loong secara rasmi bersetuju pada bulan lepas untuk membina sambungan HSR, yang dijangka mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan negara itu kepada 90 minit.

Tarikh akhir ditetapkan untuk menyiapkan projek yang disokong kerajaan itu ialah 2020.

Menyentuh keraguan Moody's mengenai daya maju projek berdasarkan maklumat yang boleh didapati secara umum hari ini yang terkandung dalam laporan itu, Syed Hamid berkata, perunding yang dilantik oleh SPAD kini dalam usaha memuktamadkan kajian kemungkinan projek tersebut.

"Kajian ini menilai daya maju projek dari perspektif teknikal dan kewangan, termasuk ekonomi projek, dan kesan sosio-ekonomi yang lebih luas, " katanya.

Analisis terperinci telah dilakukan dengan sejumlah yang besar maklumat dikumpulkan daripada sumber utama, kaji selidik dan maklum balas daripada pihak berkuasa berkaitan.

Syed Hamid berkata, SPAD, yang telah diberikan tugas untuk menerajui projek HSR, akan bekerja rapat dengan rakan Singapura untuk membincangkan perkara-perkara yang akan memberi kesan kepada kedua-dua negara, termasuk yang diketengahkan oleh penganalisis Moody's. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment