My Add

Saturday 2 March 2013

Malaysia keluar perangkap ekonomi pendapatan sederhana

CYBERJAYA, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Malaysia mula keluar dari perangkap ekonomi pendapatan sederhana terutama sejak Program Transformasi Ekonomi (ETP) diperkenalkan pada 2010, yang antara lain memperlihatkan peningkatan jumlah pelaburan yang tinggi.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, sebelum ini, jumlah pelaburan bertambah pada lingkungan 6.7 peratus setahun, namun pada 2011, peningkatan sebanyak 12.2 peratus dicatat dan pada 2012 pula meningkat sebanyak 22 peratus.

"Maknanya kita sudah mula keluar daripada middle-income economy trap' (perangkap ekonomi pendapatan sederhana). Trap bermakna (peningkatan) pelaburan 6.7 peratus (sebelum ini), sekarang sudah 12-22 peratus," kata beliau pada majlis Sambutan Hari Hasil ke-17 dan Pelancaran Hasil 4U di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar.

Ahmad Husni berkata, Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita negara kini juga berada pada tahap AS$10,075, berbanding sasaran yang ditetapkan untuk 2012 iaitu AS$8,960.

Beliau berkata, hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi iaitu dengan PNK per kapita sebanyak AS$15,000 juga boleh dicapai pada 2018, dua tahun lebih awal daripada sasaran 2020, berdasarkan pencapaian sekarang.

Dunia juga kagum dengan Malaysia kerana dapat mengurangkan defisit secara beransur-ansur, daripada 6.6 peratus pada 2009 kepada 4.5 peratus pada tahun lalu, sedangkan ada negara Eropah yang ingin mengurangkan jumlah tersebut secara drastik namun mengakibatkan pertumbuhan negatif, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment