My Add

Saturday 2 March 2013

Keluarga koperal Azman kecewa penyebaran maklumat palsu

Oleh SANTE VILLIAMON
SANDAKAN, SABTU, 02 Mac, 2013: Keluarga Azman Ampong, anggota pasukan keselamatan yang tercedera semasa bertempur dengan penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu semalam kecewa dengan sikap segelintir pihak yang menyebarkan khabar angin mengatakan anggota berpangkat koperal itu terkorban dalam insiden itu.

Ibu mertuanya, Nurni Rais, 60, mengakui setelah mendengar berita itu mereka sekeluarga amat terkejut dan sedih tetapi reda dengan pemergiannya yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi kedaulatan negara.

Walau bagaimanapun, katanya, keadaan bertukar menjadi sebaliknya apabila Azman pada malam tadi menghubungi anaknya, Marina Djapar, 34, iaitu isterinya mengatakan bahawa dia selamat dan cuma mengalami kecederaan.

Dia kini dirawat di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan.

"Sebelum waktu solat Jumaat semalam kami menerima khabar daripada Marina yang mengatakan suaminya cedera dalam pertempuran. Keadaan bertambah cemas apabila rangkaian televisyen melaporkan mengenai pertempuran dan keadaan di kampung itu.

"Pada sebelah petangnya terdapat pihak-pihak tertentu dalam Facebook mengatakan Azman meninggal dunia," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tinosa 2, Batu 7 di sini hari ini.

Azman yang berasal dari Semporna mempunyai empat orang anak yang berusia antara 12 dan empat tahun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment