My Add

Saturday, 16 March 2013

KPDNKK tumpas sindiket gas subsidi

Oleh AZRAI MOHAMMAD
KUALA LUMPUR, SABTU. 16 Mac, 2013: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya menumpaskan satu sindiket curi gas subsidi yang mengaut keuntungan RM1 juta sebulan dalam satu serbuan di sebuah premis di Kampung Sungai Purun, Jalan Bangi, Semenyih dekat sini semalam.

Timbalan Pengarah Operasi dan Pembangunan KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, dalam serbuan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 5 petang itu, seramai 16 individu termasuk seorang pelajar tingkatan tiga ditahan ketika sedang melakukan proses pemindahan gas.

Katanya, modus operandi sindiket tersebut ialah mendapatkan bekalan tong gas subsidi seberat 14 kilogram (kg) daripada pemborong sebelum memindahkan isinya ke dalam tong gas industri seberat 50 kg dan dijual dengan harga sekali ganda.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menjalin kerjasama dengan pemborong yang berperanan menghantar bekalan tersebut sebelum memindahkan ke dalam tong industri.

“Hasil kegiatan itu, mereka akan memperoleh keuntungan berganda kerana harga subsidi untuk gas 14 berharga RM26, namun dijual dengan harga RM46," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan tersebut.

Menurut Iskandar Halim, pihaknya merampas 1500 tong gas berat 14 kg dan 200 tong gas berat 50 kg anggaran nilai RM200,000.

Katanya, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang utama sindiket berkenaan termasuk saki baki kumpulan itu.

“Kita akan menyita premis ini untuk sementara waktu dan kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961," ujarnya - UTUSAN

No comments:

Post a Comment