My Add

Saturday 16 March 2013

Orang Melayu perlu manfaatkan kuasa satu undi

Oleh Abdul Razak Idris
SHAH ALAM,SABTU, 16 Mac, 2013: Orang Melayu diingatkan untuk menggunakan kuasa satu undi dengan sebaiknya agar masa depan negara yang gemilang di bawah Barisan Nasional (BN) terus terjamin.

Menurut Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin, orang Melayu perlu belajar dari pengalaman Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang menyebabkan lima negeri dikuasai pembangkang dan hak istimewa orang Melayu terhakis sedikit demi sedikit.

"Jangan kerana marah kepada Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan kita tidak mahu mengundi parti kita, hingga menyebabkan BN hilang dua pertiga.

"Perkara kecil sebegini perlu diketepikan oleh orang Melayu kerana jika kita tidak mengundi BN kali ini maka kemungkinan parti pembangkang mendapat majoriti mudah di Parlimen lebih cerah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan ceramah bertajuk Lahad Datu Bukan Wayang - Hukum Si Dalang di Kampung Bukit Kuda di sini semalam.

Zulkifli berkata, lebih menakutkan jika pihak pembangkang menggunakan majoriti yang ada untuk melaksanakan Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan iaitu menjemput negara lain bagi mencapai majoriti dua pertiga.

"Di bawah Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan perkara ini tidak mustahil dilakukan jika pembangkang mendapat majoriti mudah 112 dan BN 110.

"Mereka boleh memanggil Sidang Parlimen untuk mengusulkan kemasukan negara lain yang mempunyai banyak kerusi Parlimen untuk melengkapkan dua pertiga, ia tidak mustahil berlaku jika kita tidak mengundi BN pada PRU kali ini,"ujarnya.

Mengulas mengenai insiden Lahad Datu, beliau berkata, jika pihak musuh mempunyai pembiaya khusus operasi mereka, sudah pasti konco-konco mereka tidak akan berdiam diri dan mungkin akan membuat serangan gerila bagi membalas dendam.

Justeru katanya, Kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dalang sebenar di sebalik insiden terbabit terutama penglibatan pemimpin pembangkang yang didedahkan Wikileaks dan media antarabangsa lain. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment