My Add

Wednesday 13 March 2013

MCA senarai 40% calon muka baharu pada PRU-13

SHAH ALAM, SELASA, 12 Mac, 2013: MCA membariskan 40 peratus muka baharu yang terdiri daripada golongan muda sebagai calon untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, senarai calon tersebut telah disiapkan dan diserahkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pertimbangan.

Menurut beliau, MCA tidak akan mengumumkan senarai calon tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk berbuat demikian.

"Kita letakkan calon muda kerana mereka merupakan golongan pelapis kepimpinan parti dan negara pada masa depan. Malah, bilangan pengundi muda menunjukkan peningkatan.

"Kita mahu membuka peluang kepada orang muda untuk memimpin. Sebagai orang muda, mereka mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik, selain memahami kehendak sebenar golongan muda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup tentang persiapan BN Selangor untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed.

Soi Lek turut meminta rakyat khususnya masyarakat Cina supaya tidak meletakkan masa depan mereka kepada parti yang hanya pandai menabur janji tetapi melaksanakannya.

Beliau menyifatkan pakatan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas bukan parti yang baik ekoran kegagalan menjaga kebajikan rakyat di negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka.

Merujuk situasi di Selangor, Soi Lek berkata, majoriti penduduk di sini telah merasai keperitan di bawah pentadbiran pakatan pembangkang yang menafikan kebajikan rakyat apabila 90 peratus manifesto mereka pada pilihan raya umum lalu gagal dilaksanakan.

''Apabila kita perhalusi janji manifesto mereka, banyak yang tidak dilaksanakan. Sebaliknya, janji hanya kekal janji sehingga ke hari ini seperti isu bekalan air, perumahan murah untuk rakyat dan banyak lagi.

''Malah, kerajaan negeri Selangor sendiri telah disaman oleh rakyatnya kerana gagal menjaga kebajikan mereka. Perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita," kata beliau.

Pada masa sama, Soi Lek turut menyatakan pakatan pembangkang gagal menangani masalah melibatkan kepentingan rakyat di Selangor apabila mempolitikkan isu bekalan air seperti menolak memberikan kelulusan projek Loji Rawatan Air Langat 2 hingga akhirnya memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi serta industri di negeri ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment