My Add

Saturday 9 March 2013

Najib lawat keluarga Allahyarham Sarjan Sabarudin Daud

SABAK BERNAM, JUMAAT, 08 Mac, 2013: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melawat keluarga Sarjan Sabarudin Daud yang terkorban dalam insiden tembak-menembak di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, di rumah mereka di Kampung Sungai Lias, Sungai Besar di sini.

Najib yang tiba pada jam 12 tengah hari meluangkan masa kira-kira 15 minit bertanya khabar keluarga Allahyarham sebelum menandatangani buku ucapan takziah yang ditempatkan di rumah itu.

Beliau turut menyampaikan bantuan berjumlah RM20,000 sumbangan Yayasan Kelana Ehsan beserta sumbangan peribadinya kepada keluarga Allahyarham bagi meringankan beban mereka.

Isteri Allahyarham, Nurunnisa Abu Bakar, 42, berkata perdana menteri memaklumkan kepadanya bahawa kerajaan Malaysia amat bangga dengan pengorbanan dan jasa arwah suaminya yang meninggalkan tiga orang anak berusia antara 12 hingga 19 tahun.

"Perdana Menteri pun berpesan kepada saya supaya sentiasa tabah menjaga anak dan tenang dalam menghadapi segala dugaan," kata suri rumah itu ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini.

Najib singgah di rumah Allahyarham Sabarudin ketika pulang dari merasmikan program "1Malaysia Family Care" di Politeknik Sultan Idris Shah yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumah itu.

Sabarudin, 46, adalah antara dua anggota komando polis VAT 69 yang terkorban dalam kejadian itu pada 1 Mac lalu apabila pasukan keselamatan bertembung dengan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina berkenaan.

Turut terkorban ialah Asisten Superitenden Polis (ASP) Zulkifli Mamat, 29.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Noriah Kasnon yang turut melawat keluarga Allahyarham berkata kementeriannya akan membantu Nurunnisa meningkatkan pendapatan menerusi kursus membuat kek dan pastri di bawah program 1Azam.

Terdahulu, Najib turut meluangkan masa kira-kira 25 minit melawat seorang wanita warga emas yang uzur sejak dua tahun lepas di rumahnya di Kampung Telok Rhu, Bagan Nakhoda Omar di sini.

Najib yang tiba kira-kira jam 9.45 pagi meluangkan masa bertanya khabar kepada Jaliah Ali, 83, dan sempat menikmati hidangan seperti kuih bakar yang dibakar dengan menggunakan sabut kelapa, ubi rebus, sambal cili serta popia simpul kasih yang dibuat keluarga Jaliah.

Anak Jaliah, Sabariah Ijam, 60, yang menjaga ibunya itu berkata beliau terharu apabila menerima kunjungan perdana menteri ke rumahnya yang diubah suai menerusi bantuan peruntukan khas Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

"Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana menyumbangkan kerusi roda kepada ibu saya," katanya yang turut mendapat bantuan gigi palsu dari Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Sabak Bernam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment