My Add

Saturday 2 March 2013

Penceroboh berdepan dengan tindakan keras jika tidak serah diri - KPN
 
 *ISMAIL Omar menyampaikan amanat kepada anggota Polis Gerakan Am (PGA)
 ketika melakukan perjumpaan dengan anggota keselamatan yang bertugas
mengepung Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah hari ini. - BERNAMA

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM dan ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
LAHAD DATU, SABTU, 02 Mac, 2013: Polis memberi kata dua kepada penceroboh di Kampung Tanduo supaya melatak senjata dan menyerah diri atau bakal berhadapan dengan tindak drastik daripada pasukan keselamatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, apa yang dilakukan oleh kumpulan itu terhadap pasukan keselamatan dalam insiden pertempuran semalam merupakan tindakan yang sukar diterima.

"Saya mahu beri amaran kepada mereka, dalam situasi sebegini elok mereka meletak senjata dan menyerah diri.

"Segala perbuatan yang mereka lakukan ini tidak memberi pilihan lain kepada saya. Saya akan mengambil segala tindakan sewajarnya untuk menangkap mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Tegas Ismail, pihaknya tidak akan memberikan tempoh masa lagi kepada kumpulan tersebut, sebaliknya mahu mereka menyerah diri secepat mungkin.

"Saya hanya akan respons kepada apa yang berlaku di kampung itu dan bukannya daripada orang ketiga. Pasukan keselamatan kini berada dalam keadaan terkawal dan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku," katanya.

Ditanya apakah tindakan susulan yang bakal diambil sekiranya kumpulan tersebut menyerah diri, beliau menjelaskan kumpulan terbabit tidak akan terlepas daripada sebarang peruntukan undang-undang.

"Mereka telah melanggar undang-undang negara kita dan telah melakukan kesalahan yang amat serius," katanya.

Dalam pada itu, Hishamuddin memaklumkan bahawa beliau akan terus berada di Sabah sehingga krisis pencerobohan di Kampung Tanduo selesai.

"Kita memandang serius isu pencerobohan ini dan saya sendiri akan berada di sini sehingga ia selesai," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment