My Add

Sunday 3 March 2013

Penceroboh guna taktik kotor

 
Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN
KUALA LUMPUR, SABTU, 02 Mac, 2013: Kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, disifatkan pengecut kerana menggunakan taktik kotor dengan mengangkat bendera putih sebagai tanda untuk menyerah diri namun melancarkan serangan ke arah pasukan keselamatan sehingga mengorbankan dua nyawa anggota komando VAT 69, pagi semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, laporan itu telah disahkan sendiri oleh salah seorang anggota VAT 69 yang turut terlibat dalam pertempuran tersebut.

“Pasukan keselamatan negara terperangkap dengan taktik kotor yang digunakan kumpulan penceroboh berkenaan dan ini menunjukkan tindakan mereka itu jelas macam orang pengecut.

“Berpura-pura mengibarkan bendera putih sebaliknya apabila dihampiri pasukan keselamatan, kumpulan penceroboh bertindak melepaskan tembakan sehingga mengorbankan dua anggota polis komando serta mencederakan beberapa yang lain," katanya kepada pemberita selepas istiadat penghormatan terakhir di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang di sini.

Yang turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Semalam, dua anggota komando polis iaitu Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46, terkorban manakala tiga yang lain cedera setelah terkena tembakan daripada kumpulan penceroboh itu di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.

Sementara itu, Khalid menambah, beliau mewakili seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua anggota yang terkorban dalam pertempuran di Lahad Datu, semalam.

“Saya berharap mereka dapat bersabar atas perkara yang berlaku. Warga PDRM turut merasai kesedihan atas pemergian kedua-duanya dan amat menghargai jasa serta pengorbanan anggota keselamatan negara yang dengan sepenuh hati mempertahankan kedaulatan negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment