My Add

Sunday 10 March 2013

PM hairan sikap pembangkang
 
 *NAJIB Tun Razak diiringi Mohd. Ali Rustam (kiri) bersalaman dengan orang
ramaisejurus tiba di majlis perasmian Menara Persekutuan di Ayer Keroh, Melaka, semalam. Turut kelihatan, Dr. Ali Hamsa . - BERNAMA

Oleh amran mulup, Norliza Zakaria dan Dzulhisham Che Hassim
MELAKA, SABTU, 09 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak hairan dengan sikap pembangkang di negara ini yang sanggup mempolitikkan isu pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah yang menyebabkan lapan anggota polis terkorban.

Perdana Menteri berkata, ini berbeza dengan di Amerika Syarikat apabila dua parti iaitu Demokrat dan Republikan walaupun berbeza dari segi ideologi politik tetapi akan bersatu jika timbul isu keselamatan negara dan tidak mempertikaikan sebarang usaha membabitkan soal keselamatan negara itu.

Menurutnya, pembangkang di negara ini pula sanggup mempolitikkan isu keselamatan dengan menuduh insiden pencerobohan Lahad Datu adalah sandiwara UMNO.

"Kalau ada orang kata bahawa semua ini sandiwara dan lakonan kita, saya percaya mustahil bagi kita. Cuba kita fikir sejenak, bolehkah kita cari pelakon-pelakon yang sanggup mati dalam lakonan tersebut. Adakah orang yang secara sukarela nak jadi pelakon dalam adegan yang boleh membawa maut?

"Sebab itulah apabila ada tuduhan sedemikian bererti pasukan keselamatan (polis dan tentera) terpaksa berlakon untuk menjayakan sandiwara yang dituduh oleh seorang pembangkang.

"Saya percaya tidak ada seorang pun anggota keselamatan yang sanggup bersandiwara kerana kita tidak pernah mengarah mereka untuk bersandiwara. Kita cuma arah mereka untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara," katanya berucap merasmikan Menara Persekutuan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Omar Kaseh.

Majlis tersebut turut dihadiri kira-kira 20,000 orang yang memenuhi setiap ruang berhampiran menara tersebut.

Perdana Menteri dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri ini sebelum itu mengadakan pertemuan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri dan UMNO di Ibu Pejabat Perhubungan UMNO negeri di Jalan Hang Tuah di sini.

Najib menegaskan, isu keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dijadikan medan pertarungan politik kerana ia terlalu mahal untuk 'dijual'. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment