My Add

Saturday 16 March 2013

Rakyat perlu jadi 'mata dan telinga' kerajaan kesan musuh - Hishammuddin

KUDAT, JUMAAT, 15 Mac, 2013: Segala usaha gigih kerajaan untuk mengawal keselamatan dan kedaulatan negeri ini akan menjadi sia-sia jika langkah itu tidak disokong oleh setiap lapisan masyarakat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakyat sebenarnya berperanan sebagai 'mata dan telinga' kerajaan dalam usaha menentang musuh dari luar.

"Kerajaan sejak dahulu lagi dengan penuh komited melaksanakan tugasnya menjaga ketenteraman negara ini termasuk yang terbaharu pengumuman untuk menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

"Sekali lagi saya ingin ingatkan ESSCOM ini yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan mencapai matlamatnya jika tiada penglibatan penduduk kawasan terbabit untuk menjayakannya," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan keselamatan penduduk di sini hari ini.

Hishammuddin turut menunaikan solat Jumaat bersama penduduk di Masjid Kampung Ayer serta meluangkan masa melawat dua veteran USNO, Zakaria Abas dan Abd. Rahman Mustapha.

Ditanya mengenai kebimbangan penduduk terutama di Kudat yang tinggal di pesisir pantai tentang bahaya pencerobohan pengganas Sulu, Hishammuddin menegaskan, semua berita yang didengar itu hanyalah khabar angin.

Bagaimanapun beliau berkata, pasukan keselamatan tidak sesekali memandang ringan setiap khabar angin yang disebarkan itu.

"Kita ada saluran untuk mengesahkan laporan tersebut dan di Kudat sendiri tiada satu insiden pun yang boleh disahkan kesahihannya," tegas beliau.

Mengenai cadangan beberapa pihak supaya kerajaan tidak lagi membenarkan kewujudan perumahan di atas air, beliau pada dasarnya bersetuju tetapi menjelaskan bahawa perkara tersebut perlu ditangani dengan sebaik-baiknya.

"Sebuah balai polis baharu akan dibina di Pulau Banggi, Kudat; Pulau Gaya, Kota Kinabalu; Pulau Bum-Bum dan Mabul, Semporna dalam masa terdekat ini, menunjukkan pasukan keselamatan tahu di mana kemungkinan berlakunya lokasi panas tersebut," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment