My Add

Sunday 3 March 2013

Tindakan nekad penceroboh kemungkinan didorong individu tertentu

KUALA LUMPUR, SABTU, 02 Mac, 2013: Tindakan nekad kumpulan penceroboh bersenjata yang mendakwa sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah berkemungkinan didorong individu tertentu seperti yang dilaporkan perisik Filipina.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, tindakan nekad menceroboh itu tidak akan dilakukan sekiranya mereka tidak mendapat sokongan daripada individu atau kumpulan terbabit.

"Memang kita tahu niat mereka untuk menuntut hak (ke atas Sabah) itu dari dulu lagi.

"Kalau kita pergi lebih mendalam, mungkin ada pihak yang mendorong mereka untuk melakukan pencerobohan ini sehingga nekad menggunakan senjata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, selepas hampir tiga minggu berunding, kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu memulakan serangan ke atas pasukan keselamatan Malaysia hingga menyebabkan dua anggota komando VAT 69 terkorban manakala tiga lagi cedera.

Pihak perisikan Filipina turut memaklumkan terdapat tiga kumpulan yang menjadi dalang di sebalik pencerobohan kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu itu.

Malah, pihak perisikan negara itu secara terbuka mengaitkan nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai salah seorang dalang kejadian yang akhirnya menyaksikan berlaku insiden pertumpahan darah.

Selain itu, Azmi menambah, pencerobohan tersebut juga dilihat disebabkan tarikan ekonomi Sabah yang semakin maju dan membangun.

"Tempat tinggal mereka di Sulu tidak semakmur di Sabah selain tidak memberi manfaat kepada mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Azmi berpendapat, tindakan pencerobohan tersebut berikutan sikap tamak kumpulan terbabit untuk memperoleh habuan saguhati lebih banyak dari kerajaan Malaysia.

"Kerajaan Malaysia memberikan wang saguhati berjumlah RM5,000 setahun kepada mereka yang menuntut Sabah sebagai hak mereka.

"Saya percaya akibat ketamakan, ini adalah matlamat akhir mereka dan mengharapkan Malaysia memberi saguhati yang lebih banyak daripada RM5,000 setahun," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment