My Add

Saturday 16 March 2013

Tubuh RCI siasat dalang - Dr. Mahathir


 *DR. Mahathir Mohamad menyerahkan cek bernilai RM80,000 kepada Khalid
 Abu Bakar sambil diperhatikan Norian Mai di Yayasan Al-Bukhary, Kuala 
Lumpur, semalam. - UTUSAN/GHAZALI BASRI


KUALA LUMPUR, JUMAAT, 15 Mac, 2013: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) boleh ditubuhkan bagi menyiasat dalang atau penglibatan 'pihak ketiga' di sebalik insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah itu bagi membuktikan kerajaan mengamalkan prinsip terbuka selari kehendak rakyat untuk mengetahui kejadian sebenar insiden tersebut melalui bukti-bukti yang dikemukakan suruhanjaya berkenaan.

"Jawatankuasa suruhanjaya itu boleh menyiasat pembabitan pihak ketiga kerana kita mengetahui semua operasi memerlukan wang, jadi sekiranya seseorang itu diisytihar bankrap, saya tidak fikir mereka boleh lakukan semua ini (pencerobohan di Lahad Datu)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sebanyak RM80,000 kepada Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pihak Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Pengerusi PGPF, Tan Sri Norian Mai dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sumbangan itu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada pasukan keselamatan negara yang berjuang mempertahankan tanah air terutama dalam kejadian pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berpendapat, Malaysia tidak menolak kemungkinan menubuhkan RCI atau membuka kertas putih berhubung insiden itu kerana siasatan menyeluruh perlu dibuat bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian tersebut.

Menurut beliau, RCI itu juga bagi meneliti kemungkinan terdapat pihak yang membiayai militan dari selatan Filipina untuk menggugat keamanan dan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut mempersoalkan sumber kewangan yang diperoleh penceroboh tersebut mengambil kira latar belakang pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu berkenaan yang bukan golongan berada.

"Dari mana datangnya duit itu, saya sendiri mahu bertanya, apatah lagi rakyat.

"Saya tidak fikir pihak yang mendakwa Sultan Sulu itu orang kaya kerana menurut kerajaan Filipina mereka sangat miskin. Mereka sebenarnya terpengaruh kononnya tindakan pencerobohan itu boleh menguntungkan mereka," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir yang juga Presiden PGPF berkata, tuntutan penceroboh Sulu kononnya Sabah milik mereka adalah tidak berasas kerana Malaysia adalah sebuah negara merdeka yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakyatnya berhak mempertahankan negara ketika diancam musuh.

Jelasnya, kerajaan turut mengiktiraf kewujudan orang Sulu di Sabah yang menjadi rakyat negara ini apatah lagi kumpulan masyarakat itu juga menolak sebarang tindakan penceroboh menakluk Sabah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment