My Add

Friday 22 March 2013

Tunku Aziz desak ROS batal pendaftaran DAP

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Mac, 2013: Pendaftar Pertubuhan (ROS) didesak untuk segera membatalkan pendaftaran DAP berikutan kedegilan parti tersebut mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, adalah mustahil DAP akan bertindak 'telus' dengan mengadakan pemilihan semula tanpa arahan tegas ROS.

"ROS perlu bertindak adil dan cepat, DAP fikir mereka kebal dengan undang-undang dan tidak perlu bertanggungjawab isu salah kira undi pada pemilihan lepas. Mereka memang angkuh.

"Adalah menjadi tanggungjawab ROS untuk sama ada mendesak mereka untuk mengadakan pemilihan semula atau gantung parti itu untuk sementara waktu sehingga selesai siasatan," katanya pada sidang akhbar berhubung perkara tersebut di sini hari ini.

Keputusan pemilihan CEC pada 15 Disember 2012 itu menyaksikan tiada seorang pun calon Melayu terpilih tetapi selepas 19 hari berlalu, DAP tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam penjadualan undi dan mengisytiharkan Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari sebagai salah seorang anggota CEC.

Insiden itu membawa kepada peletakan jawatan Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong selain beberapa ahli parti bertindak membuat aduan kepada ROS berikutan kebimbangan mereka terdapat unsur manipulasi dalam keputusan itu.

Tunku Aziz turut mempersoalkan agenda tersembunyi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang tidak membenarkan seramai 753 daripada 2,576 perwakilan layak mengundi untuk hadir pada hari pemilihan CEC itu.

Beliau turut mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa pemilihan CEC tidak sah memandangkan terdapat kesilapan dalam pengiraan undi.

"Sepatutnya, apabila berlaku kesilapan kiraan undi yang serius, secara automatik keputusan pemilihan menjadi tidak sah tetapi DAP menganggap seperti tidak ada apa yang berlaku," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment