My Add
Thursday, 11 April 2013
ATM teruskan misi bantuan ke Afghanistan: PAT
PETALING JAYA, RABU, 10 April, 2013: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meneruskan misi bantuan kemanusiaan ke Afghanistan walaupun penghantaran Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (MALCON-ISAF) ke negara itu sudah tamat.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata selepas ini Kabul, Afghanistan dipilih untuk diberi bantuan kemanusiaan dari aspek perubatan.
"Tetapi mungkin bilangan yang akan dihantar kurang daripada 40 anggota dan lebih fokus kepada pakar perubatan, kesihatan dan pergigian untuk dijadikan mentor doktor perubatan di sana," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis sambutan dan pembubaran Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa ke-5 (Malcon Isaf) di Pangkalan Udara Subang dekat sini, hari ini.
Zulkifeli berkata kumpulan selepas ini juga akan ditugaskan untuk memantau secara kerap sekurang-kurangnya sebulan sekali projek yang telah dilaksanakan di Bamiyan, Afghanistan seperti klinik pergigian dan 'One Stop Waiting Home'.
Ketika ditanya mengenai keselamatan di Kabul, beliau berkata kerajaan Afghanistan mengesahkan bahawa kawasan itu selamat namun jika berlaku sesuatu perkara di luar jangkaan pelan kontingensi juga sudah dirancang.
"Saya yakin anggota ATM yang akan ditugaskan di Kabul nanti akan melaksanakan tanggungjawab dan mengubah kawasan tersebut seperti yang dilakukan di Bamiyan," katanya.
Terdahulu Zulkifeli meyambut kepulangan 40 pegawai dan anggota ATM yang tiba dari Bamiyan, Afghanistan yang menjalankan misi kemanusiaan sejak Oktober lalu. - BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment