![]() |
| *ISMAIL Sabri Yaakob (tiga dati kiri) menyentuh skrin iPad sebagai tanda simbolik pra pelancaran Francais Antarabangsa Malaysia 2013 di Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR, RABU, 10 April, 2013: Kerajaan menyasarkan industri francais menyumbang sebanyak RM24 bilion tahun ini kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) disokong oleh prestasi pelan induk francais yang dilancarkan pada awal tahun 2012.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tahun lalu industri itu berjaya mengatasi sasaran awal iaitu RM23.6 bilion.
"Perkembangan ini juga disokong oleh pengenalan pembiayaan mikro francais bernilai RM8 juta tahun lalu untuk membantu usahawan kecil memulakan perniagaan mereka.
"Setakat ini sebanyak RM6 juta telah digunakan untuk manfaat 221 usahawan francaisi dan ini merupakan prestasi yang amat baik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pra-pelancaran Francais Antarabangsa Malaysia 2013 (FIM 2013) di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Francais (MFA) Malaysia, Abdul Malik Abdullah dan Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Bhd., Syed Kamarulzaman Syed Zainol Kodki Syahabudin.
FIM 2013 yang akan dianjurkan pada 20 hingga 22 September 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) anjuran KPDNKK dan MFA.
Seramai 12, 000 pengunjung dijangka hadir pada pameran kali ke-20 tersebut yang melibatkan 130 peserta dari dalam dan luar negara.
Pada FIM 2013 juga, negara akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Majlis Francais Sedunia (WFC) dan Konfederasi Francais Asia Pasifik (APFC).
Ismail Sabri berkata, FIM 2013 dijangka menjana jualan sebanyak RM370 juta berbanding RM352 juta yang direkodkan pada tahun lalu.
"Peningkatan tersebut disokong oleh kehadiran pengunjung dan peserta yang lebih ramai berbanding edisi sebelum ini.
"Tahun ini kerajaan telah merangka banyak program pembangunan francais seperti Jelajah Francais 1 Malaysia, Francais Komuniti dan Stesen Francais 1Malaysia. Ini membantu mempromosikan industri ini kepada orang ramai untuk hadir pada pameran kali ini," jelasnya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment