My Add

Wednesday, 10 April 2013

Polis selesai kes bunuh pengawal keselamatan dalam tiga jam

KOTA KINABALU, SELASA, 09 April, 2013: Polis berjaya menyelesaikan kes penemuan mayat seorang pengawal keselamatan di pantai Tanjung Lipat, Likas di sini hari ini, dalam tempoh tidak sampai tiga jam setelah menahan seorang suspek dipercayai ada kaitan dengan kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan di kawasan Likas kira-kira pukul 8.30 pagi bagi membantu siasatan setelah mendapat maklumat daripada orang awam.

Beliau berkata, mayat mangsa, Mohd. Faisal Amilusin, 44, yang dilaporkan hilang sejak semalam, ditemui terdampar di pantai itu pada pukul 6 pagi oleh orang awam yang beriadah di situ.

"Siasatan mendapati mayat mangsa yang ditemui lengkap berpakaian itu mengalami kecederaan di bahagian kening dan dahi dipercayai dipukul dengan objek keras," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat tersebut telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

Dalam kejadian berasingan, katanya, seorang wanita kurang upaya (OKU) terbunuh setelah dirempuh sebuah kereta semasa melintasi jalan berhampiran Kampung Meruntum, Putatan dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.50 pagi itu, mangsa, Rohani Mohd. Amran, 23, dari Kampung Pasir, meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Supritendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke HQE untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pemandu kereta yang melanggar mangsa telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kita minta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu supaya tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. - TUSAN

No comments:

Post a Comment