My Add

Wednesday, 10 April 2013

PPA1M bandar bakal dilancar

 *SEBAHAGIAN daripada penjawat awam yang menghadiri majlis Perjumpaan
 Ketua Setiausaha Negara Bersama Penjawat Awam Johor di Johor Bahru, semalam.

Oleh HANIZA HASSAN
JOHOR BAHRU, SELASA, 09 April, 2013: Kerajaan akan melancarkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) bagi menjaga kebajikan penjawat awam yang bertugas di kawasan bandar tidak lama lagi.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa berkata, projek perumahan mampu milik yang dibina di atas tanah kerajaan tersebut ditawarkan pada harga minimum 20 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Beliau berkata, sebagai projek perintis, sebanyak 10,000 unit kediaman berkenaan akan dibina di Putrajaya dan kerajaan akan terus mencari tanah milik kerajaan yang sesuai di bandar besar termasuk di Johor Bahru.

"Harga rumah mampu milik akan ditawarkan dalam lingkungan RM150,000 hingga RM300,000 dengan keluasan antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi serta dilengkapi dengan segala kemudahan asas yang diperlukan.

"Ia diharapkan dapat meringankan beban penjawat awam yang selama ini memberi perkhidmatan terbaik kepada kita,'' katanya dalam majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Johor di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil serta kira-kira 2,000 penjawat awam negeri ini.

Menurut beliau, insentif tersebut diharap menjadi suntikan semangat kepada semua untuk bekerja dengan lebih gigih.

Ali berkata, projek PPA1M itu juga bertujuan membantu mengatasi beban kesukaran penjawat awam membeli rumah di bandar besar kerana di luar jangkauan kuasa beli mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menyambung kontrak kira-kira 50,000 kakitangan awam yang akan tamat perkhidmatan mereka hujung tahun ini sementara kajian menyeluruh tentang perjawatan mereka dilakukan oleh jawatankuasa khas.

Beliau berkata, semua kakitangan kontrak tersebut akan disambung setahun lagi sehingga 31 Disember 2014.

"Kepada semua pegawai kontrak, saya mendengar keluh kesah anda semua dan kerajaan ini adalah kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyatnya.

"Maka, kerajaan telah bersetuju untuk menyambung setahun lagi kontrak mereka yang tamat pada 31 Disember depan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment