My Add

Thursday, 11 April 2013

PRU-13: 2,000 masyarakat Sembrong tekad pastikan BN menang

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
KLUANG, RABU, 10 April, 2013: Lebih 2,000 masyarakat dan jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Sembrong bertekad untuk menolak pakatan pembangkang sekali gus memastikan negeri ini kekal menjadi kubu kuat BN.

Kesetiaan mereka terhadap BN dan gerak gempur menolak pakatan pembangkang dilafazkan dengan penuh bersemangat dalam majlis perlancaran jentera BN Parlimen Sembrong di Dataran Taman Gunung lambak di sini malam tadi.

Semangat masyarakat daripada Melayu, Cina dan India itu yang tidak sabar lagi untuk memulakan gerak kerja jelas kelihatan apabila hampir keseluruhan mereka tidak henti bersorak sebagai tanda menyokong penuh BN.

Penyandang kerusi Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika berucap merasmikan jentera BN berkata, kini tiba masa untuk ahli parti berkerja keras sehingga ke hari pembuangan undi bagi memastikan BN kekal sebagai kerajaan.

"BN telah mula bekerja untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 sejak selepas pilihan raya lalu lagi. Oleh itu kini adalah masa untuk kita semua menggandakan usaha memastikan BN terus mencatatkan kemenangan.

"Kita jangan biarkan pembangkang masuk ke Sembrong kerana sebelum ini mereka tidak pernah jenguk ke pelusuk Parlimen ini, hanya tiba masa pilihan raya baru tunjuk muka dan memecahbelahkan masyarakat majmuk di sini," katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa pakatan pembangkang bukan seperti gabungan di dalam BN yang sepakat dalam menentukan hala tuju serta membangunkan negara.

Katanya, sebaliknya parti-parti tersebut hanya menjadi pak turut kepada parti lain yang inginkan kuasa serta jawatan Perdana Menteri.

"Tiada apa yang dilakukan pakatan pembangkang selain mengamalkan politik perpecahan, sehingga kejadian pencerobohan di Lahad Datu juga dikatakan sandiwara UMNO.

"Ia membuktikan bahawa pembangkang tidak serius berkhidmat untuk masyarakat sebaliknya hanya mementingkan hal politik sepanjang masa," jelasnya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment