My Add

Thursday, 11 April 2013

PRU-13: Kerusi di Telok Kemang kekal ditandingi MIC, bukan UMNO

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
TELOK KEMANG, KHAMIS, 11 April, 2013: Kerusi Parlimen Telok Kemang yang sebelum ini diuar-uarkan akan diserahkan kepada UMNO, akan kekal ditandingi oleh calon daripada MIC dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Sebelum ini, pelbagai pihak berpendapat kerusi Parlimen Telok Kemang boleh dirampas oleh BN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memenanginya pada PRU-12, tetapi dengan syarat ia ditandingi oleh UMNO memandangkan majoriti pengundi di kawasan itu adalah orang Melayu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, pendirian itu disampaikan sendiri oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada beliau dalam pertemuian baru-baru ini.

Katanya, dalam pertemuan itu, ia turut dihadiri presiden parti-parti komponen BN.

Menurut beliau, usaha merampas semula kerusi BN yang terlepas kepada parti pembangkang PRU-12 masih boleh dicapai dengan bekerja keras dan bukannya dengan pertukaran kerusi semata-mata.

"Kita mesti bersama-sama ketika senang dan susah. Semangat setiakawan yang menjadi pegangan BN amat penting dan perlu dipertahankan," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan jentera PRU-13 Wanita MIC Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Pada PRU-12, MIC yang juga parti komponen BN telah bertanding di dua kerusi di Telok Kemang iaitu Parlimen Telok Kemang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Port Dickson. Bagaimanapun BN tewas di kedua-dua kerusi itu kepada PKR.

Mohamad memberitahu, terdapat desakan daripada pihak-pihak tertentu yang mahu supaya MIC menyerahkan kerusi tersebut untuk ditandingi oleh parti komponen BN yang lain.

"Saya tidak dapat bersetuju dengan desakan ini kerana kita tidak boleh mementingkankan diri sendiri kerana merasakan rakan kita berada pada kedudukan lemah," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment