My Add

Wednesday, 10 April 2013

PRU-13: PKR terpaksa beri laluan kepada Pas di Temerloh

Oleh HERMAN HAMID
KUANTAN, RABU, 10 April, 2013: Bagi menjaga hati penyokong Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akhirnya terpaksa mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada rakan sekutunya meletakkan calon di kerusi Parlimen Temerloh.

Keputusan itu menyaksikan Ketua Cabang PKR Temerloh, Nizam Abdul Hamid yang didakwa oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya telah bekerja lama di kawasan Parlimen Temerloh terpaksa memberi laluan kepada calon dari Pas.

"Saya juga seperti mana biasa hanya akan umum nama-nama calon yang telah dipersetujui di kawasan-kawasan Parlimen yang tak bertindih atau dipertikai bagi menjaga persetujuan antara parti.

"Saya tidak kira tentang pengumuman parti lain, kalau ada sedikit percanggahan yang menimbulkan sedikit sebanyak keresahan, saya masih patuh kepada semangat muafakat pakatan pembangkang," katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini malam tadi.

Pada PRU-12, kerusi Temerloh ditandingi calon PKR.

Ditanya mengenai pengumuman beberapa pemimpin PKR negeri untuk bertanding bebas kerana tidak berpuas hati dengan calon yang dipillih, beliau seperti dijangka dengan pantas mengaitkannya dengan taktik UMNO.

"Ini bukan isu, kita dah boleh jangka. Banyak wang melayang, kita dah dengar sebulan lalu taktik ini akan digunakan UMNO, beli sebanyak mungkin.

"Tapi pada saya rakyat sudah buat keputusan sama ada untuk pakatan pembangkang atau Barisan Nasional (BN)," dakwanya.

Pada sidang akhbar itu, juga, Anwar mengumumkan bekas Pengerusi PKR negeri, Zakaria Abdul Hamid sebagai calon parti itu di Parlimen Bera.

Untuk kerusi Parlimen Pekan, Anwar mengumumkan Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, 43, sebagai calon di kerusi tersebut. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment