Isa Samad ucap tahniah kepada tiga anak FELDA tawan Everest
KUALA LUMPUR: Pengerusi FELDA Tan Sri Isa Abdul Samad mengucapkan tahniah kepada tiga pendaki 'Everest Felda 2013' yang berjaya menawan Gunung Everest pagi Selasa.
Beliau berkata latihan dan penat lelah mereka nyata tidak sia-sia kerana ini menunjukkan potensi yang ada dalam diri rakyat Malaysia jika diberikan latihan dan peluang yang sesuai.
"Tahniah kepada anak-anak Felda yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest, kami akan menanti kepulangan mereka kelak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut sumber, pendaki termuda Mohd Nasuha Shamsuddin, 21, menawan Gunung Everest pada ketinggian 8,848 meter dari paras laut pada 8.31 pagi waktu Nepal
(2.05 pagi waktu Malaysia).
Ini diikuti Mohamad Asyraf Mohd Halim, 25, pada 8.48 pagi (3 pagi waktu Malaysia) dan Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 22, pada 9.11 pagi (3.25 pagi waktu Malaysia).
Mohd Nasuha berasal dari Felda Tersang 3 di Raub, Pahang manakala Mohamad Asyraf dari Felda Lok Heng Timur di Kota Tinggi, Johor dan Muhammad Hafizuddin dari Felda Chini Timur 1, Pahang.
Ekspedisi anjuran Kelab Ekplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) dengan kerjasama Majlis Belia Felda dan Felda Global Venture Holding (FGVH) itu disertai 12 pendaki sokongan terdiri daripada tujuh lagi anak Felda dan lima pendaki KE7B.
Ia bermula pada 2 April lepas. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment