Oleh Mohd. Asron Mustapha
![]() |
*MUHYIDDINYassin berucap pada majlis perbincangan dan taklimat dalam rangka lawatan kerja beliau ke Pulau Phuket, Thailand semalam. Bersamanya ialah Gabenor Phuket, Maitri Inthusut. - BERNAMA |
Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak polis tidak perlu bimbang untuk bertindak mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk mendakwa mereka yang berkaitan walaupun pembangkang seringkali cuba memutar-belitkan keadaan.
Malah katanya, segala usaha yang sudah diambil pihak polis dalam memelihara keamanan negara bukan tindakan politik sebagaimana didakwa pembangkang, kerana tindakan itu bersandarkan bukti kukuh selain mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Dalam nada tegas beliau menambah, apa yang dilakukan pembangkang sekarang sebenarnya adalah untuk menyemarakkan perasaan permusuhan dalam kalangan rakyat dengan mencetuskan provokasi melampau dan jika tidak dibendung, bakal menjejaskan kestabilan negara.
Inilah (huru-hara) yang mereka cuba lakukan, sebab itu kita minta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya supaya tidak berlaku huru-hara, bukan kerana soal politik tetapi demi memelihara kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara.
Apa yang paling penting ialah keamanan negara kita tidak boleh dibiarkan digugat secara sewenang-wenangnya oleh pihak yang berpendapat mereka boleh berbuat apa sahaja tanpa mengambil kira mengenai kesejahteraan rakyat dan Malaysia, katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Jabatan Pelancongan Thailand di sini hari ini.
Menurutnya, pihak polis tidak perlu bimbang untuk bertindak jika mereka mempunyai cukup bukti.
Bagi saya yang penting rakyat mahu melihat pihak berkuasa bertindak tegas." katanya..
Beliau mengulas tangkapan terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua, aktivis propembangkang, Harris Ibrahim serta Tamrin Ghafar kerana membuat ucapan menghasut.
Yang turut hadir pada sesi taklimat tersebut ialah Gabenor Phuket, Maitri Inthusut dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan ketiga-tiga mereka telah melanggar beberapa perkara dalam Akta Hasutan yang dilakukan semasa perhimpunan dan ceramah pembangkang sebelum ini.
Polis yang menguatkuasakan undang-undang dan kita tidak mahu campur tetapi kalau sahih dan cukup bukti terserah kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan sebab kita tahu sejak beberapa hari ini rakyat berasa bimbang kalau tiada tindakan tegas," ujarnya.
Ditanya apakah tindakan tegas sedemikian mampu menghentikan rancangan pembangkang untuk meneruskan siri demonstrasi haram bagi tujuan mencetuskan suasana tidak tenteram, Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak berkenaan perlu menghormati suara demokrasi.
Jelasnya, apa yang rakyat hendak lihat sekarang ialah Barisan Nasional (BN) menunaikan segala khidmat kepada rakyat dan pembangkang boleh mencuba nasib mereka sama ada diterima majoriti rakyat atau tidak pada pilihan raya umum akan datang. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment