Parti politik boleh kemuka petisyen bantah PRU-13
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Mei, 2013: Parti-parti politik boleh mengemukakan petisyen untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula hari ini sehingga 12 Jun ini setelah keputusan pilihan raya itu diwartakan.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tiada petisyen yang mereka kemukakan hari ini iaitu hari pertama.
Menurutnya, SPR mewartakan keputusan pilihan raya semalam, maka parti-parti boleh mengemukakan petisyen tersebut pada sepanjang 21 hari bermula hari ini.
"Paling akhir 12 Jun, undang-undang kata dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya maknanya bila-bila masa dalam tempoh itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan SPR semalam yang mewartakan keputusan rasmi PRU-13 yang berlangsung 5 Mei lepas.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pula berkata, berikutan pewartaan keputusan pilihan raya itu, calon dan parti politik yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mempunyai tempoh 21 hari untuk memfailkan petisyen atau bantahan mulai hari ini.
Beliau berkata, petisyen boleh difailkan di Mahkamah Tinggi di negeri masing-masing. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment