Ketua baharu perlu perluaskan Maybank ke serantau - Wahid
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Mei, 2013: Ketua baharu bank terbesar di Malaysia (Maybank) mesti menguasai pengetahuan mendalam mengenai perbankan, berpengalaman dalam mengurus perbadanan besar selain memiliki keupayaan untuk mengembangkan lagi bank itu ke peringkat serantau.
Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang akan melepaskan jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd (Maybank) berkata, penggantinya juga perlu berwawasan, berani dan baik dengan pemegang saham, bagi meningkatkan lagi pertumbuhan institusi perbankan ketiga terbesar di Asean itu.
"Lembaga itu sedang menimbang calon dari dalam dan luar negara. Ia bukan empat calon (seperti dilaporkan beberapa media tempatan).
"Mereka (lembaga pengarah) akan membuat pengumuman dalam beberapa minggu akan datang," katanya pada sidang media selepas mengumumkan keputusan kewangan suku pertama Maybank di sini hari ini.
Ia merupakan sidang media terakhir Abdul Wahid sebagai ketua Maybank.
Abdul Wahid, 49, dari Johor, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi.
Beliau akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Senator pada 5 Jun bagi menerajui portfolio baharu itu.
Tanpa menyebut nama-nama calon, Abdul Wahid berkata, beliau yakin lembaga pengarah Maybank akan membuat pilihan yang tepat mengenai siapa yang akan menerajui bank itu bagi merealisasikan matlamat 2015.
"Ketua yang baharu mesti memastikan kesinambungan pertumbuhan trajektori bank dan memimpin pertumbuhan industri perbankan dalam negara dan ASEAN," katanya.
Abdul Wahid berterima kasih kepada lembaga pengarah, pasukan pengurusan, pelabur dan institusi media atas sokongan berterusan mereka sepanjang tempoh lima tahun beliau di Maybank.
Bank itu dipercayai melantik calon dalaman sebagai ketua sementara atau eksekutif yang bertanggungjawab tidak lama lagi selepas Abdul Wahid melepaskan jawatan itu pada 4 Jun.
Pengumuman mengenai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu akan dibuat selepas memperoleh kelulusan Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment