Keuntungan CMSB meningkat 10 peratus
KUCHING, KHAMIS, 23 Mei, 2013: Syarikat pemudah prasarana utama Sarawak, Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM54.81 juta dalam suku pertama 2013, satu peningkatan sebanyak 10 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas, kata Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Richard Curtis.
Beliau berkata, pendapatan meningkat 35 peratus kepada RM310.36 juta daripada RM230.34 juta, dengan semua bahagian mencatatkan pendapatan tinggi berbanding suku pertama tahun lepas.
Keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan turun sedikit sebanyak lapan peratus kepada RM28.73 juta kerana keuntungan sebelum cukai tinggi disumbang kebanyakannya oleh anak syarikat dimiliki bersama.
Pendapatan sesaham berjumlah 89 sen berbanding 95 sen daripada tempoh yang sama tahun lepas.
"Suku ini merupakan satu lagi suku yang berjaya bagi kami dari segi prestasi berbanding sasaran.
"Pencapaian utama dicatatkan oleh bahan mentah pembinaan dan dagangan, pembinaan dan penyenggaraan jalan dan bahagian-bahagian Samalaju Development, yang menyaksikan peningkatan ketara suku ke suku dalam keuntungan sebelum cukai masing-masing sebanyak 227 peratus, 37 peratus dan 48 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment