My Add

Thursday, 30 May 2013

Malaysia mampu jadi peneraju hasilkan vaksin halal di dunia

KEPALA BATAS, RABU, 29 Mei, 2013: Industri penyelidikan bahan perubatan di negara ini perlu progresif dalam menghasilkan vaksin halal yang boleh digunakan pesakit beragama Islam.

Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan Negeri Terengganu, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, usaha itu juga bagi memastikan Malaysia mampu menjadi salah sebuah negara peneraju kepada penghasilan vaksin halal di dunia.

Menurut beliau, ketika ini, negara memiliki ramai pengamal perubatan serta ahli-ahli farmasi yang membuat penyelidikan mengenai penghasilan vaksin halal untuk kegunaan pesakit Islam.

"Tetapi kita tidak menetapkan masa yang tepat untuk melaksanakannya walaupun segala kemudahan makmal untuk penyelidikan telah tersedia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan dua kertas kerja bertajuk Ubat-ubatan dan Vaksin Bernajis dalam Perubatan - Satu Analisa Hukum dan Gugurkan Kandungan: Bolehkah atau Tidak... Pandangan Ulama dan Hukum Islam dalam Konvensyen Perubatan Islam dan Isu-isu Fikah Perubatan Peringkat Kebangsaan 2013 di sini hari ini.

Konvensyen berkenaan merupakan anjuran bersama Unit Hal Ehwal Islam Hospital Pulau Pinang, dan International Muslim Aid Malaysia.

Majlis perasmiannya disempurnakan Ketua Penolong Pengarah (Perubatan) Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Sabri Othman.

Dalam konvensyen itu, sebanyak 530 pakar perubatan dan paramedik dari seluruh negara hadir bagi meningkatkan kefahaman mereka berhubung prosedur rawatan perubatan supaya selari dengan syariat Islam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment