Pendidikan seimbang jadikan Malaysia hebat
BESUT, SABTU, 18 Mei, 2013: Malaysia mampu menjadi sebuah negara hebat di dunia menerusi peranan guru menggerakkan proses pendidikan seimbang.
Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, keseimbangan antara pendidikan dan akhlak perlu bagi sesebuah negara yang membangun seperti Malaysia berdasarkan contoh negara-negara lain termasuk Finland.
"Untuk itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran memerlukan sokongan daripada rakyat supaya pelbagai agenda pendidikan yang telah dirancang dapat dilaksanakan tanpa tersekat," katanya ketika mengadakan jamuan kesyukuran kepada penduduk dan warga pendidik di kediamannya di Kampung Tok Has, di sini hari ini.
Menurutnya dalam memastikan matlamat dan visi kerajaan itu tercapai, pihaknya akan berlaku adil kepada semua pihak untuk melaksanakan agenda pendidikan negara.
Sehubungan itu, Idris berkata, beliau akan membantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memastikan pendidikan negara berjalan mengikut landasan yang betul dan tepat.
"Berilah saya masa sebulan mengenali Kementerian Pelajaran bagi membolehkan saya dapat menjalankan tugas dengan berkesan bersama Tan Sri Muhyiddin," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment