My Add

Tuesday, 21 May 2013

Pengguna lebuh raya dinasihat ikut TTA PLUS sempena Wesak, cuti sekolah

KUALA LUMPUR, SELASA, 21 Mei, 2013: Orang ramai dinasihatkan mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan PLUS Expressways Bhd (PLUS) bagi Lebuhraya Utara-Selatan sempena Hari Wesak dan cuti persekolahan dari Khamis hingga 9 Jun ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi berkata, TTA yang dikeluarkan pada musim perayaan lalu berjaya membantu orang ramai bergerak dengan lebih selesa di Lebuhraya Utara-Selatan untuk merancang perjalanan selain mengelakkan kesesakan lalu lintas.

"Justeru, Plus sekali lagi menasihatkan pengguna jalan raya yang pulang bercuti dan kembali ke Lembah Klang supaya terus memberi kerjasama dengan mematuhi jadual perjalanan yang dikeluarkan ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagi 23 Mei hingga 9 Jun, waktu perjalanan yang dicadangkan ialah dari Lembah Klang ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang melalui Juru serta Johor melalui Skudai, Senai Utama, Ayer Hitam, Yong Peng dan Tangkak sebelum 12 tengah hari.

Perjalanan dari Lembah Klang ke Perak Utara melalui Kuala Kangsar, Changkat Jering dan Taiping serta Melaka melalui Jasin dan Ayer Keroh antara 12 tengah hari hingga 3 petang.

Dari Lembah Klang ke Perak Tengah melalui Ipoh, Simpang Pulai dan Gopeng serta Melaka melalui Simpang Ampat antara 3 petang hingga 6 petang.

Bagi perjalanan dari Lembah Klang ke Perak Selatan melalui Tapah, Bidor, Slim River dan Tanjung Malim serta Negeri Sembilan melalui Senawang, Port Dickson dan Seremban selepas 6 petang.
Kenderaan berakhir dengan nombor plat ganjil bagi semua perjalanan melalui Tambak Johor dan Linkedua serta Jambatan Pulau Pinang pula dinasihatkan memasuki lebuh raya setiap jam ganjil seperti 9 pagi, 1 petang dan 7 malam manakala kenderaan berakhir dengan nombor plat genap dinasihatkan memulakan perjalanan pada setiap jam genap seperti 10 pagi, 2 petang dan 8 malam.

Bagi perjalanan bebas dari Lembah Klang dinasihatkan bergerak sebelum 9 pagi dan selepas 10 malam.

Sementara itu, bagi perjalanan untuk kembali ke Lembah Klang dari 23 Mei hingga 9 Jun dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak Tengah, Johor dan Melaka (melalui Simpang Ampat) untuk pilihan pertama antara 9 pagi hingga 11 pagi manakala untuk pilihan kedua antara 6 petang hingga 8 malam.

Waktu perjalanan ke Lembah Klang yang dicadangkan dari Perak Utara, Perak Selatan, Melaka (melalui Jasin dan Ayer Keroh) dan Negeri Sembilan untuk pilihan pertama antara 2 petang hingga 5 petang manakala untuk pilihan kedua selepas 10 malam.

Semua perjalanan dari utara dan selatan melalui Tambak Johor dan Linkedua serta Jambatan Pulau Pinang bagi kenderaan dengan nombor plat ganjil dinasihatkan pada setiap jam ganjil manakala kenderaan dengan nombor plat genap pula bermula pada setiap jam genap.

Bagi perjalanan bebas ke Lembah Klang dinasihatkan bergerak sebelum 9 pagi.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi talian bebas tol PLUSline 1800-88-0000 atau mengikuti laman Twitter PLUSTrafik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment