Rohani yakin pengalaman di dua kementerian dapat membantunya
PUTRAJAYA, JUMAAT, 17 Mei, 2013: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim yakin pengalamannya di dua kementerian sebelum ini dapat dimanfaatkan untuk memperjuangkan nasib golongan wanita, keluarga dan masyarakat dengan lebih berkesan.
Katanya, antara tumpuan utama beliau di kementerian yang baharu diterajuinya itu ialah usaha mengatasi masalah kemiskinan dan gelandangan di seluruh negara, selain menambah baik dasar-dasar serta rang undang-undang berkaitan.
"Kita nak menuju negara maju, bantuan bukan daripada segi subsidi sahaja, malah kita perlu melihat agar golongan miskin dan gelandangan ini dapat berdiri atas kaki sendiri," katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat di kementerian itu di sini, hari ini.
Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar, Sarawak sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, dan pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Beliau yang memulakan tugas sebagai menteri penuh hari ini, menyuarakan keyakinannya untuk menambahbaik dan menjayakan segala inisiatif yang dirancang, menerusi kerjasama dan kepakaran pegawai-pegawai kementerian itu yang sebelum ini diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau seterusnya memberi jaminan akan berkhidmat kepada masyarakat secara keseluruhan, selain membanyakkan program-program turun padang dan bertemu dengan golongan sasar di samping memberi penerangan mengenai program-program yang dijalankan.
Rohani berkata, kementerian juga akan mewujudkan lebih banyak pusat 'Anjung Singgah' - khusus untuk gelandangan, dan 'Anjung Kasih' - tempat penginapan bagi mereka yang datang dari jauh untuk rawatan susulan di hospital di samping meneruskan dan menambahbaik program seperti 1Azam dan Komuniti Persatuan Wanita.
Katanya, kementerian juga akan terbabit dalam persidangan antarabangsa mengenai wanita seperti '3rd Global Conference Women Deliver" dan "Global Summit Women".
Rohani berkata perancangan kementerian yang lebih terperinci akan dibincangkan selepas mesyuarat bulan depan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment