*HAFIDZI Mohd. Noor (kiri) menyatakan sesuatu kepada tiga peserta Misi Ke-16 Aqsa Syarif ke Gaza di KLIA Sepang, kelmarin. |
Pengerusinya, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor berkata, misi yang disertai oleh empat orang aktivis itu akan memasuki sempadan Gaza melalui sempadan Rafah, Mesir Isnin ini.
"Misi ini mempunyai beberapa tujuan antaranya menemuduga calon-calon imam dari Palestin yang akan dipilih untuk menjadi imam di beberapa masjid dan surau seluruh negara.
"Terdapat seramai 15 imam berusia dalam lingkungan 23 hingga 30 tahun akan dipilih nanti oleh penemuduga yang merupakan Ketua Imam Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Bandar Manjalara, Kepong, Abdul Halim Abdullah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Mingguan Malaysia dalam majlis pelepasan misi tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Hafidzi berkata, penghantaran misi A2G16 itu juga adalah untuk menyertai Himpunan Antarabangsa Global March to Jerusalem (GMJ) yang berlangsung di Gaza, Jordan, Mesir dan beberapa tempat lain pada 7 Jun ini.
"GMJ merupakan inisiatif NGO antarabangsa dalam menunjukkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin membebaskan Masjid Aqsa daripada cengkaman Israel.
"Pemilihan pada tarikh 7 Jun itu untuk memperingati hari di mana masjid suci itu diceroboh tentera Zionis yang membawa kepada penaklukan Baitulmaqdis," katanya.
Selain itu, beliau berkata, misi tersebut bertujuan mendokumentasi beberapa projek Aqsa Syarif di sana untuk pemantauan.
"Antaranya, cadangan projek ternakan lembu kedua, tapak pembangunan penyewaan industri kecil dan sederhana, dan kemajuan projek bersama Al-Aqsa University," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment