My Add

Saturday, 1 June 2013

Dagangan dua hala Malaysia - Afrika cecah AS$15 bilion

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Dagangan dua hala antara Malaysia dan Afrika dijangka mencecah AS$15 bilion (RM46.43 bilion) dalam tempoh tiga tahun akan datang berbanding AS$8.5 bilion (RM26.31) yang direkodkan tahun lepas.

Pesuruhjaya Tinggi Namibia ke Malaysia Gebhard Ben Kandanga berkata, beliau membuat unjuran itu berdasarkan hubungan baik Malaysia-Namibia dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan dan politik.

"Import Afrika dari Malaysia sebahagian besarnya meliputi minyak sawit, getah, barangan elektronik dan komponen, manakala Malaysia membeli ikan dan mineral daripada kami," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada resepsi sempena luar Pameran dan Rantaian Perniagaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Kandanga menjangkakan lebih banyak syarikat Malaysia akan membuka perniagaan di Afrika, terutama dalam sektor minyak dan gas serta pembinaan.

"Syarikat-syarikat Malaysia mempunyai tahap kepakaran yang sangat tinggi dalam infrastruktur bangunan dan pembinaan," katanya.

Terdapat lebih 20 syarikat Malaysia beroperasi di Afrika, termasuk Bumi Armada, Sime Darby, Ireland Corporation, MarryBrown dan Lim Kok Wing University.

Dalam usaha untuk menggalakkan pelaburan langsung asing, beliau berkata, negara-negara Afrika telah mewujudkan persekitaran mesra pelaburan dan telah meliberalisasikan undang-undang yang melayakkan pelabur menikmati pelbagai insentif cukai dan bukan cukai.

Menyedari pentingnya usaha sama perdagangan Malaysia-Afrika, Tanzania akan menganjurkan Dialog Perkongsian Pintar Antarabangsa Global 2013 dari 28 Jun hingga 1 Julai di Dar es Salaam, ibu negara dan bandar terbesar yang juga merupakan hab ekonomi yang penting di rantau itu.

Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria berkata, dialog itu akan memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan Afrika.

Beliau berkata, Malaysia akan diwakili oleh para pegawai sektor awam dan swasta pada dialog itu.

Menurutnya, Matrade akan mengetuai misi yang turut disertai 24 syarikat dan empat agensi ke Tanzania bagi mempromosi pelbagai produk, perkhidmatan dan teknologi.

Rebecca berkata, 40 syarikat dari Afrika turut menghadiri dialog itu untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

Beliau berkata, mesyuarat perniagaan sudah diatur untuk syarikat Malaysia dan pengimport Afrika serta rakan perniagaan yang berpotensi. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment