Hukum pihak hasut rakyat
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Pihak berkuasa wajar mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang dikesan melakukan hasutan terutama melalui ceramah yang diadakan di negara ini.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, pihak terbabit tidak sewajarnya menggunakan taktik kotor seperti menghasut dan memperbodohkan rakyat untuk memuaskan hati mereka dalam usaha menggulingkan kerajaan.
"Jangan cepat melatah dan membuat sesuatu keputusan menggunakan emosi kerana itu tidak dapat menyelesaikan sesuatu masalah.
"Belajarlah menerima sesuatu keputusan dengan hati yang terbuka kerana tidak semua benda yang kita inginkan akan menjadi milik kita," katanya.
Menurut Ismail Mina, mereka yang terlibat harus dikenakan denda setimpal dengan kesalahan serta dijatuhkan hukuman di bawah akta ditetapkan.
Sementara itu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, tindakan tegas perlu demi memastikan keharmonian negara dan menggelakkan menjadi ikutan generasi muda.
"Kerana mereka sekarang dilihat berani menentang kerajaan dengan mengadakan pelbagai demonstrasi jalanan yang melanggar undang-undang negara.
"Pihak berkuasa digesa lebih tegas menangani perkara ini untuk tidak memudaratkan lagi negara dengan penglibatan pihak tidak bertanggungjawab yang ingin menghancurkan negara,'' jelasnya.
Akhbar hari ini melaporkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan empat aktivis propembangkang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam ceramah yang diadakan dua minggu lalu.
Selain Tian Chua atau Chua Tian Chiang, 50, turut didakwa ialah Hishamuddin Md. Rais, 62; ahli Pas, Mohd. Tamrin Abdul Ghafar, 63; peguam, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 54, dan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Muhammad Safwan Awang @ Talib, 24. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment