My Add

Sunday, 2 June 2013

John kemudi perahu sendirian

 *JOHN Soon Hock Chiong (tiga dari kanan) menerima sumbangan wang tunai daripada wakil petugas media, Zulazhar Sheblee di Belaga, Sarawak, semalam. - Bernama
BELAGA, SABTU, 01 Jun, 2013: John Soon Hock Chiong mengemudi perahu bersendirian menempuh perjalanan tiga jam dari Nanga Metah Merit, Kapit, menuju lokasi kejadian bot ekspres karam di Giam Bungan untuk mendapatkan perkhabaran tentang isterinya, Roslin Jati, yang masih belum ditemui.

Sejak tragedi itu berlaku Selasa lepas, John menanti di tempat kejadian, namun pulang ke kampungnya semalam dan tiba semula pada 1 tengah hari ini menunggu perkembangan terbaharu operasi mencari dan menyelamat isterinya dan dua lagi mangsa.

Biarpun masih bersedih, John, 39, tidak menolak kemungkinan ada hikmah di sebalik kejadian itu.

"Saya masih bersedih dengan kehilangan isteri, tapi saya ada terpikir juga, kalau tangan isteri tidak terlepas, mungkin kami bertiga masih hilang," katanya ketika ditemui di Pekan Belaga hari ini.

Ketika kejadian, John menaiki bot itu bersama Roslin, 34, yang mengandung lima bulan dan anak lelaki mereka, Jacky Soo, 5, dari Kem Pembalakan Sin Yang Lakin B, Bakun untuk pulang ke kampung sempena cuti Gawai.

Semasa bot mulai karam, John yang berusaha keluar dari bot, terlepas tangan isterinya, namun berjaya menyelamatkan diri bersama anak lelaki.

Bapa tiga anak itu berkata, sambutan Gawai hari ini juga tidak bermakna kepada beliau sekeluarga.

"Macam mana saya nak sambut Gawai, isteri masih dalam 'air'. Anak pun masih tak henti-henti menangis sejak kejadian itu," katanya.

John juga melahirkan perasaan kesal duduk di dalam bot kerana kebiasaannya mereka duduk di atas bumbung bot.

"Kalau kami duduk atas bumbung, mungkin perkara ini tidak berlaku.

"Bungan' (hantu) di lokasi kejadian dah banyak ambil nyawa, tapi tak sangka keluarga saya pula yang kena kali ini," katanya mengakhiri perbualan tanpa menjamah sedikit pun nasi, mengakui masih tidak mempunyai selera.

Sementara itu, 10 petugas media dari Bernama, Kosmo!, The Star, Berita Harian, TV3 dan Astro Awani menyampaikan sumbangan berjumlah RM200 kepada John untuk meringankan beban yang ditanggung.

Operasi mencari dan menyelamat tiga mangsa diteruskan hari ini, namun setakat 3 petang masih tiada perkembangan positif.

Usaha mengangkat dan mengapungkan bot ekspres pula ditangguhkan hari ini sementara menunggu kren tiba selepas usaha menggunakan tongkang berkuasa tinggi gagal.

Setakat ini, seramai 204 mangsa disahkan selamat, manakala satu mayat sudah dijumpai. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment