My Add

Sunday, 2 June 2013

Tujuh pendaki negara syukur

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
 
 *ISA Samad menyambut ketibaan tujuh pendaki Malaysia ke puncak Everest yang tiba di KLIA, Sepang, malam tadi. - MINGGUAN/IZHAM JAAFAR
SEPANG, SABTU, 01 Jun, 2013: Tujuh pendaki yang mengikuti projek Everest Felda 2013 melahirkan rasa kesyukuran tidak terhingga kerana berjaya merealisasikan misi mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Felda di 'bumbung dunia' pada 21 dan 23 Mei lalu.

Biarpun tidak tiba secara serentak untuk menawan puncak Gunung Everest setinggi 8,848 meter itu, mereka tetap gembira dan berbangga kerana berjaya melaksana misi penuh cabaran tersebut.

Ketua Pasukan, Siti Hanisah Sharuddin, 23, berkata, dia berpuas hati kerana usaha dan latihan yang dilakukan selama ini akhirnya membuahkan hasil.

"Kejayaan ini kami tujukan kepada rakyat Malaysia khususnya masyarakat Felda yang banyak memberi sokongan kepada kami.

"Terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kejayaan kami," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis sambutan kepulangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini malam ini.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Manap.

Selain Siti Hanisah, misi itu turut disertai Mohd. Nasuha Shamsudin, 21, (Felda Tersang 3, Raub, Pahang), Mohamad Asyraf Mohd. Halim, 25, (Felda Lok Heng Timur, Kota Tinggi, Johor), Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 22, (Felda Chini Timur 1, Pekan, Pahang) dan Myrza Fasha Md. Hamyrudin, 25, (Felda Tersang 3, Raub, Pahang).

Mereka turut ditemani jurulatih, Zainudin Lot, 37, dan Muhammad Illaham Ishak, 37.

Projek Everest-Felda 2013 itu dikendali Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) dan mendapat sokongan serta tajaan Felda, Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), dan Majlis Belia Felda Malaysia.

Dalam pendakian itu, dua rekod baharu dicipta selepas Mohd. Nasuha muncul sebagai pendaki termuda dan Siti Hanisah (pendaki wanita termuda) dalam sejarah pendakian Gunung Everest oleh rakyat Malaysia sejak 1997.

Siti Hanisah yang berasal dari Felda Jelai 1, Gemas, Negeri Sembilan berkata, sikap tidak mudah mengalah merupakan antara faktor yang mendorong kejayaannya.

Katanya, dia pada mulanya terpaksa berpatah balik setelah tiba pada ketinggian 8,748 meter (South Summit) kerana masalah kesihatan namun menyambung semula pendakian dua hari kemudian.

"Bagi saya tidak ada istilah mengalah kerana tetap mahu meneruskan misi ini, saya tahu saya boleh melakukannya," katanya.

Bagi Mohd. Nasuha pula, dia begitu gembira kerana muncul sebagai pendaki termuda negara menawan puncak tertinggi dunia itu.

"Perasaan saya ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana kejayaan ini membuktikan saya boleh mencapai apa-apa sahaja meskipun dalam usia muda," katanya.

Sementara itu, Razali dalam ucapannya berkata, kejayaan para pendaki terdiri daripada generasi muda Felda tersebut mencerminkan semangat peneroka awal yang berani.

"Mereka ini membawa semangat peneroka awal ketika ingin membuka tanah rancangan, hanya orang berani saja yang boleh buat begitu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment