My Add

Saturday, 1 June 2013

Kedah tetap teruskan hasrat

Oleh SAHBULAH DARWI

ALOR SETAR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Kerajaan Kedah tetap akan meneruskan hasrat untuk mengenakan caj bekalan air dari Sungai Muda ke atas kerajaan Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim berkata, pihaknya serius dalam hal itu kerana tiada sebab bagi Kedah menarik balik hasrat yang pernah dikemukakan oleh Pas Kedah sebelum ini.

“Kita akan halusi semula hal ini daripada pelbagai aspek termasuk perundangan dan sejarah.

“Tambahan pula Pulau Pinang tidak pernah dikenakan sebarang bayaran bagi sumber air yang diperoleh dari Sungai Muda sebelum ini," katanya selepas perasmian Hari Komuniti Sihat Perpaduan Sejahtera di Taman Setia Jaya di sini hari ini.

Dalam sesi pembentangan Belanjawan 2013 Kedah pada November lalu, Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memaklumkan kutipan hasil negeri pada 2013 akan meningkat berikutan kerajaan Pulau Pinang mula dikenakan caj jualan air mentah berjumlah RM20 juta setahun.

Berikutan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerajaannya enggan membayar jumlah tersebut manakala Pengerusi DAP, Karpal Singh pula berkata, bekalan air mentah itu tidak perlu dibayar kerana air adalah ‘anugerah Tuhan’.

Badrol Hisham berkata, rundingan antara Kedah dan Pulau Pinang bagi memuktamadkan perkara itu akan terus diadakan dalam masa terdekat ini.

“Saya akan memanggil Lembaga Sumber Air Kedah untuk mendapatkan perincian mengenai isu ini bagi memudahkan perbincangan bersama kerajaan Pulau Pinang," katanya.

Difahamkan, sebanyak 80 peratus air mentah di Pulau Pinang diperoleh dari Sungai Muda. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment