My Add

Saturday, 1 June 2013

Berhenti pertikai ketelusan siasatan pihak berkuasa

*AHMAD Zahid Hamidi diiringi Wan Junaidi Tuanku Jaafar (dua dari kanan) dan Abdul Rahim Mohd. Radzi (tengah) bertanya khabar kepada banduan wanita ketika melawat Kompleks Penjara Kajang di Kajang, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Mei, 2013: Para pemimpin pembangkang diminta berhenti mempertikai ketelusan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguat Kuasa (EAIC) dalam menjalankan siasatan kerana mereka telah melakukan tugas dengan baik termasuk dalam kes kematian tahanan semasa di dalam lokap.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain itu, kerajaan juga tidak pernah melindungi anggota polis jika benar ada kalangan mereka terbukti hasil daripada siasatan rapi bertindak melakukan perbuatan di luar batasan perundangan.

"Kita tidak memihak kepada mereka yang melakukan kesalahan biarpun mereka adalah pegawai kita, jadi jangan berprasangka buruk terhadap mereka yang melakukan siasatan kerana mereka telah menjalankan tugas dengan baik.

"Jika ada dalam kalangan mereka yang melakukan tugas di luar batas perundangan, kita tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya sebagai mengulas desakan pemimpin pembangkang agar Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) diwujudkan.

Desakan itu dibuat berikutan kematian seorang tahanan polis, N. Dharmendran dalam lokap tetapi semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low menegaskan penubuhan IPCMC tidak diperlukan kerana aduan mengenai salah laku polis boleh dibuat menerusi EAIC.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama timbalannya, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar melawat Kompleks Penjara Kajang sambil diiringi Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, Jabatan Pencegahan Jenayah Bukit Aman akan bertindak menyiasat dan memburu penjenayah upahan yang sering menembak mati mangsa mereka ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat, sebagai pendekatan jangka panjang.

Bagaimanapun, katanya, usaha tersebut turut memerlukan sokongan serta dokongan daripada masyarakat untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak polis iaitu dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa jika mempunyai sebarang maklumat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment