![]() |
* ZUBIR Harun menunjukkan poster Konvensyen Pendidikan Melayu dan Bumiputera, di Kuala Lumpur, semalam. |
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Dr. Zubir Harun berkata, konvensyen itu dianjurkan dengan kerjasama YPM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Menurutnya, program itu melibatkan tiga sesi perbincangan dengan tajuk pertama Meritokrasi Dalam Pengambilan Pelajar Melayu dan Bumiputera di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta Kesannya Kepada Pembangunan Sumber Manusia.
Beliau yang juga Presiden YPM berkata, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini pernah melahirkan kebimbangan tentang jumlah kemasukan pelajar Melayu ke IPTA terutama dalam bidang kritikal yang didapati semakin berkurangan berbanding kaum lain.
"Kebimbangan beliau itu berasas apabila bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengakui perkara itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata beliau, bilangan pelajar Melayu hanya meningkat dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.
"Sehubungan itu, konvensyen ini akan membincangkan perbandingan dari aspek keperluan sistem meritokrasi ini kerana adakah melalui dasar ini, pelajar Melayu mendapat kelebihan," katanya.
Selain itu, katanya, sesi kedua bertajuk Cabaran Pengajaran dan Pembelajaran Masa Kini Untuk Bersaing Dalam Sistem Meritokrasi Pendidikan dengan tumpuan perbincangan kepada menilai kemerosotan peratusan dalam keputusan cemerlang pelajar Melayu.
Menurut Zubir, sesi terakhir bertajuk Meritokrasi dan Impaknya pada Agihan Biasiswa Pelajar Melayu dan Bumiputera di IPTA dengan meneliti kemasukan pelajar Melayu ke IPT awam dan swasta serta memerlukan bantuan kewangan.
"Hasil rumusan perbincangan akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melihat semula dasar meritokrasi yang tidak menguntungkan pelajar Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak," kata beliau.
Bagi yang berminat menyertai konvensyen boleh menghubungi YPM pada talian 03-26927273 atau 03-26927039 sambungan 207 bagi tujuan pengesahan tempat. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment