Syor Pangkor, Pengkalan Hulu kawasan bebas cukai
IPOH, RABU, 19 Jun, 2013: Kerajaan negeri meminta Kerajaan Pusat mengkaji semula cadangan menjadikan Pulau Pangkor dan Pengkalan Hulu sebagai kawasan bebas cukai bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi termasuk dalam bidang pelancongan di kedua-dua kawasan tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihaknya berharap agar penelitian semula dibuat terhadap cadangan berkenaan walaupun sebelum ini ditolak oleh Kementerian Kewangan.
"Mungkin mereka ada alasan tersendiri (menolak cadangan). Tetapi kita minta kerajaan buat pertimbangan semula dengan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan cadangan menjadikan Pangkor dan Pengkalan Hulu sebagai kawasan bebas cukai yang juga menjadi antara elemen bagi syor mewujudkan Lembaga Pembangunan Pangkor.
Namun, Kementerian Kewangan menolak cadangan tersebut atas alasan konsep kawasan bebas cukai sudah tidak perlu berikutan wujudnya Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang membolehkan penjualan barangan dengan kadar lebih murah dalam kalangan negara ASEAN.
Zambry menjelaskan, cadangan mewujudkan kawasan bebas cukai lebih tertumpu kepada usaha merancakkan kegiatan perdagangan selain menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini.
"Soalnya adakah duti eksais yang nak dikemukakan (AFTA) melibatkan item-item tersendiri seperti arak dan sebagainya. Kita tidak galakkan (penjualan) barangan ini, kita nak benda-benda yang boleh memberi pulangan atau perniagaan yang baik," jelasnya.
Sementara itu, Zambry memberitahu, kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Pusat bagi menaik taraf kompleks sukan sedia ada bagi persiapan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) yang dijadual dihoskan oleh Perak pada 2018.
Beliau berkata, cadangan tersebut turut melibatkan kerja-kerja menaik taraf kemudahan sukan lain termasuk kolam renang dan lokasi bagi acara seperti gimnastik.
"Saya difahamkan kemudahan sukan di kompleks sedia ada sudah jauh ketinggalan kerana sudah berusia puluhan tahun. Kita tidak berhasrat membina kompleks baharu, memadai jika kemudahan sedia ada dinaik taraf supaya ada kelengkapan yang canggih dan terkini," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment