My Add

Sunday, 2 June 2013

Pasukan terakhir Batalion 4 RAMD berjaya tamatkan misi Ops Daulat di Lahad Datu

 *MOHD. Azmi Borhan (tengah) bersama anggota Batalion 4 RAMD melaungkan kata-lata semangat 'Gempur Wira' pada majlis menyambut kepulangan kumpulan kedua Batalion 4 RAMD yang menamatkan tugas dalam Ops Daulat dan Ops Serkap di Lahad Datu, di Kompleks Bunga Raya KLIA, semalam.
SEPANG, SABTU, 01 Jun, 2013: Sebanyak sembilan pegawai dan 97 anggota Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, setelah hampir tiga bulan berjuang mempertahan kedaulatan negara dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah.

Kepulangan sebanyak 106 pegawai dan anggota Batalion Keempat RAMD yang merupakan kumpulan terakhir itu disambut Panglima 11 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd. Azmi Borhan.

Menurut Pegawai Memerintah Batalion Keempat RAMD, Leftenan Kolonel Safwan @ Asri Ismail, meskipun menggalas tugas yang sukar dan berat, kesemua anggotanya tetap berdedikasi mempertahan tanah air atas semangat cintakan negara.

"Ini bukan satu tugas mudah, namun kami mendapat pengalaman cukup bermakna kerana berhadapan suasana perang sebenar.

"Tiga pertempuran berlaku di Kampung Tanduo, Lahad Datu sepanjang kami bertugas dan itu merupakan insiden yang benar-benar mencabar dan berbahaya," katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Bunga Raya KLIA hari ini.

Pada 12 Februari lalu, kumpulan pengganas Kiram menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah kononnya bagi menuntut hak negeri itu yang didakwa milik Kesultanan Sulu.

Dalam pada itu, Pegawai Perubatan RAMD, Kapten Dr. Syazwani Mohamad berkata, tiada yang lebih menggembirakannya selain berjaya menyelesaikan misi tersebut dengan selamat.

Menceritakan pengalamannya sepanjang mengikuti misi itu, Dr. Syazwani berkata, keadaan 'zon perang' tersebut sungguh mencabar dan memerlukan ketahanan mental serta fizikal setiap anggota.

"Rasa sedih melihat anggota keselamatan yang tercedera ketika bertempur dengan kumpulan pengganas Kiram sememangnya tidak dapat dielakkan.

"Sebagai pegawai perubatan, saya berusaha sebaik mungkin memastikan mereka sembuh. Itu menjadi keutamaan saya kerana mereka berjuang untuk mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Ahmad Salim Kerot, 56, melahirkan rasa syukur selepas anak lelakinya yang merupakan salah seorang anggota RAMD berjaya menamatkan misi tersebut dengan selamat.

Dia dan isteri, Siti Zaleha Sofa, 53, menunggu di pekarangan Kompleks Bunga Raya KLIA sejak pukul 1 petang untuk menanti kepulangan anak tersayang mereka, Kapten Ahmad Akmal.

"Saya berbangga dan gembira dengan kepulangan Ahmad Akmal. Walaupun pada mulanya kami sekeluarga terutama isteri saya berasa bimbang, namun kami memahami ini tanggungjawabnya sebagai seorang anggota tentera.

"Saya cukup bangga anak saya terlibat secara langsung dalam menjaga kedaulatan negara daripada pencerobohan kumpulan pengganas Kiram," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment